Prasarana akur pengurangan kos projek LRT3

Prasarana akur pengurangan kos projek LRT3

Syarikat infrastruktur milik kerajaan berkata ia menunggu arahan Perbendaharaan berhubung langkah rasionalisasi kos.

Free Malaysia Today
Prasarana berkata ia merancang mendapatkan dana sebanyak RM22 bilion melalui bon jaminan kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat pengendali pengakutan milik kerajaan Prasarana Malaysia Bhd berkata ia akan akur arahan Kementerian Kewangan supaya mengurangkan kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia kini menunggu arahan lanjut berkaitan “rasionalisasi besar dan komprehensif kos yang akan diputuskan”.

Prasarana, yang memiliki dan mengendalikan perkhidmatan tren dan bas RapidKL berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut mengarahkan pengurangan bilangan stesen.

Khamis lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata beberapa perubahan yang menurutnya merupakan langkah pengurangan kos sedang dilakukan. Set tren 3 gerabak, bukannya set 6 gerabak akan digunakan, saiz stesen dikecilkan, sementara terowong sejauh 2 kilometer dan sebuah stesen bawah tanah serta 5 yang lain dibatalkan.

Stesen tren yang dibatalkan ialah Lien Hoe, Temasya, Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botani.

Bagaimanapun, beberapa stesen baru akan dibina atau stesen sedia ada ditingkatkan apabila permintaan bertambah pada masa depan.

Prasarana berkata, ia pada awalnya dibenarkan oleh Kabinet pada 2015 untuk menerbitkan bon jaminan kerajaan sebanyak RM10 bilion bagi mendapatkan dana untuk tujuan pembiayaan kos kontrak dan perbekalan bas pengantara (pada kos RM9 bilion), selain pengambilan tanah RM1 bilion.

“Prasarana sedar kos awal LRT3 sebanyak RM10 bilion tidak mencukupi, dan pertambahan besar diperlukan bagi menyiapkan projek tersebut,” katanya.

Pada 30 Mac tahun ini, syarikat terbabit memohon secara rasmi kelulusan untuk menambah modal sebanyak RM22 bilion melalui penerbitan bon dengan jangkaan kos akhir LRT3 meningkat kepada RM31.65 bilion.

Lim berkata, Kabinet meluluskan pengurangkan kos projek sebanyak RM16.6 bilion.

“Sekarang Prasarana menunggu arahan Kementerian Kewangan berkaitan rasionalisasi besar dan komprehensif kos yang akan diputuskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.