Jho Low guna pasport Saint Kitts & Nevis, nama sama

Jho Low guna pasport Saint Kitts & Nevis, nama sama

Imigresen berkata satu kesalahan sekiranya seorang warganegara Malaysia memiliki 2 pasport.

Free Malaysia Today
Gambar Bernama
SEPANG:
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai menggunakan nama yang sama pada pasport negara Saint Kitts and Nevis yang dimilikinya, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

“Kita dapati beliau masih gunakan nama yang sama pada pasport itu,” katanya.

Katanya menjadi satu kesalahan sekiranya seorang warganegara Malaysia memiliki 2 pasport.

“Di negara ini kita tidak mengamalkan 2 kerakyatan , setiap rakyat mesti memiliki hanya 1 kerakyatan dan 1 pasport Malaysia,” katanya kepada media selepas meninjau proses prapelepasan jemaah haji oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Arab Saudi malam ini.

Katanya pihaknya terus menjalinkan kerjasama dengan dengan pihak berkuasa imigresen di seluruh dunia selain penglibatan polis, Interpol dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) dalam menjejaki Jho Low.

Beliau berkata pasport Jho Low juga dibatalkan oleh Imigresen pada 15 Jun atas permintaan SPRM berhubung penyiasatan terhadap skandal 1MDB.

Saint Kitts and Nevis sebuah negara terdiri daripada 2 pulau yang terletak di antara Lautan Atlantik dan Laut Karibia, di Amerika Tengah. Carian di beberapa laman sesawang mendapati individu yang berminat boleh memohon mendapatkan pasport dan kerakyatan dengan melabur di dalam negara itu, seperti di dalam sektor hartanah yang diluluskan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.