
“Sudah pasti Ahli Parlimen tahu harta masing-masing. Sudah pasti juga mereka tahu berapa buah rumah atau kereta yang mereka miliki,” kata Dr Michael Jeyakumar, ahli jawatankuasa pusat PSM dan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.
Beliau merujuk laporan yang memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution sebagai berkata, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diberi tempoh 3 bulan dari tarikh mengangkat sumpah untuk mengisytiharkan harta.
Saifuddin juga berkata harta yang diisytiharkan akan disiarkan dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jeyakumar, yang mengisytiharkan harta beliau setiap tahun sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen berkata, eksesais itu boleh disempurnakan dalam masa 2 minggu.
Kata beliau, langkah itu tidak seharusnya dihadkan kepada Ahli Parlimen, tetapi perlu meliputi semua wakil yang dipilih dan pegawai tinggi kerajaan.
Namun begitu sindirnya, mungkin ada sesetengah orang berasa malu berikutan saiz kekayaan mereka yang besar atau menghadapi kesukaran untuk menjelaskan puncanya.
“Mereka bukan sahaja perlu mengisytiharkan harta,” katanya, “tetapi perlu menjelaskan bagaimana mereka memperolehi wang atau harta tersebut sekiranya jumlahnya melebihi sumber yang diketahui.”
“Eksesais ini baik untuk mereka yang telah sedia kaya, sama ada kerana berasal daripada keluarga yang kaya atau terlibat dalam perniagaan sebelum itu. Dengan cara ini orang ramai tidak akan meragui punca kekayaan mereka.”
Jeyakumar berkata, beliau tidak percaya langkah itu akan menyebabkan berlakunya kes penculikan terhadap Ahli Parlimen atau anggota keluarga mereka.
“Saya percaya mereka yang mahu menculik tahu siapakah yang kaya atau siapa yang tidak berdasarkan gaya hidup orang tersebut,” katanya.