Putrajaya jimat RM15 bil projek LRT3 selepas kurangkan koc, kecilkan stesen

Putrajaya jimat RM15 bil projek LRT3 selepas kurangkan koc, kecilkan stesen

Lim Guan Eng berkata kos tinggi hampir RM32 bilion adalah disebabkan kelemahan urus tadbir kerajaan BN.

Free Malaysia Today
Datuk Seri Najib Razak ketika pelancaran LRT3 tahun lepas, dalam program yang turut dihadiri menteri besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Putrajaya menjimatkan lebih RM15 bilion selepas meluluskan beberapa langkah penjimatan untuk pembinaan fasa ketiga Light Rail Transit (LR3) dari Klang ke Petaling Jaya, termasuk membatalkan reka bentuk stesen besar menyerupai MRT dan mengurangkan jumlah tren.

Ia merupakan antara keputusan dicapai dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam, yang menyaksikan jumlah kos asal RM31.65 bilion dikurangkan kepada RM16.63 bilion, pengurangan sebanyak 47%, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Penjimatan bernilai RM15 bilion bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah ia juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan,” kata Lim.

Menurutnya, harga asal melambung tinggi akibat “kelemahan tadbir urus kerajaan terdahulu”.

Antara perkara yang membantu pengurangan kos termasuk pembinaan stesen yang lebih kecil, dan bilangan koc dikurangkan daripada 42 set tren 6-koc kepada 22 set tren 3-koc.

“Berdasarkan kajian perlaksanaan projek LRT3, 22 set kereta api 3-koc ini sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set keretapi 3-koc dilaksanakan,” kata Lim.

Di samping itu, pembinaan 5 stesen ditangguhkan, iaitu Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic, sehingga wujud keperluan berdasarkan pertambahan penumpang.

Sebuah terowong bawah tanah sepanjang 2km di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam, juga dibatalkan.

Lim berkata kerajaan juga dapat berjimat selepas tarikh siap dilanjutkan 4 tahun lagi kepada 2024.

LRT3, yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang, mempunyai jarak keseluruhan 36 km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.