
Peguam Datuk Imran Tamrin berkata mereka sedang mempertimbangkan pilihan itu sementara Jamal menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistrest Ampang atas tuduhan cuba melarikan diri daripada tahanan polis.
“Kami sedang mengumpul fakta untuk membawa usul ke mahkamah,” katanya selepas membayar denda RM400 bagi pihak Jamal.
Jamal awal hari ini mengakui bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor tahun lepas.
Beliau ditahan sejak Khamis apabila permohonan ikat jaminnya ditolak Mahkamah Majistret Ampang selepas dituduh bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana cuba melarikan diri daripada tahanan polis.
Mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri sekali lagi, walaupun Jamal berjanji akan melapor diri ke balai polis setiap hari sebagai syarat ikat jaminnya.
Jamal dihantar pulang ke Malaysia selepas hampir 2 bulan bersembunyi di Indonesia.
Imran berkata denda RM400 terhadap Jamal itu tidak menjejaskan kedudukan anak guamnya sebagai ketua bahagian.
“Dia masih ketua bahagian itu. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia hanya membatalkan kelayakan untuk memegang jawatan awam jika seseorang itu didenda lebih RM2,000 oleh mahkamah.
Beliau menambah terserah kepada kepimpinan tertinggi Umno sama ada akan mengambil tindakan terhadap Jamal.