PAS saran Umno jangan bertanding, tumpu pulih imej

PAS saran Umno jangan bertanding, tumpu pulih imej

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata lebih baik Umno tumpu pada usaha memulihkan imej.

Free Malaysia Today
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Selangor menyarankan Umno memberi laluan kepadanya untuk bertanding di DUN Sungai Kandis memandangkan parti Melayu itu perlu memulihkan imej selepas memilih barisan pemimpin baru pada pemilihan 30 Jun lepas.

Pesuruhjaya Sallehen Mukhyi mengingatkan parti lawan itu tentang imej Umno yang teruk sekarang ini.

“Umno perlu lakukan proses pemulihan imej, selepas dilihat mempunyai imej yang teruk,” katanya.

PAS sebelum ini dilapor berkata ia mungkin akan menarik diri daripada PRK DUN Sungai Kandis jika parti lain mahu memaksakan pertandingan 3 penjuru.

Sallehen hari ini berkata peluang lebih cerah dalam pertandingan 1 lawan 1 tetapi beliau tidak menjangkakan kemenangan.

“Menang bagi PAS itu luar biasa. Dalam PRK ini, paling tidak kita bertanding untuk tingkatkan majoriti,” katanya.

Beliau menambah belum ada keputusan dibuat di pihak PAS setakat ini sama ada untuk bertanding atau tidak pada PRK ini.

Tarikh penamaan calon untuk PRK Sungai Kandis pada 21 Julai dan hari mengundi pula pada 4 Ogos.

DUN Sungai Kandis, atau dahulunya, DUN Seri Andalas, dimenangi calon PKR, Mat Shuhaimi Shafiei pada PRU-14 dengan majoriti selesa 12,480 undi mengalahkan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

DUN ini terletak bawah Parlimen Kota Raja, yang juga dimenangi calon parti sekutu, Mohamad Sabu dari Amanah, dengan majoriti besar 71,142 undi mengalahkan calon BN dan PAS.

Kerusi DUN berkenaan sudah dimenangi PKR 3 penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum ke-12 lalu pada 2008. Sejak dua penggal lalu, kerusi berkenaan dimenangi Xavier Jeyakumar.

Berdasarkan statistik PRU14 lalu, daripada 50,800 pengundi secara keseluruhan, 72% daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (12%), India (16%).

Sementara itu, Sallehen tidak bersetuju dengan pandangan penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff yang meminta pembangkang memberikan kemenangan percuma kepada PH bagi memberi ruang kepada kerajaan menumpukan kepada usaha “memulih dan membangunkan negara”.

Sallehen sebaliknya berkata PRK itu nanti masa yang tepat untuk menilai prestasi awal pemerintah sehingga kini.

“Menteri-menteri sibuk lakukan siasatan dari tumpu pada manifesto yang dijanjikan,” katanya.

“Dulu digembar-gemburkan harga barang akan turun, harga minyak akan turun, tetapi masih tidak berlaku. Biar ia jadi ukuran kerana masih belum 100 hari.”

Beliau menambah memberikan kemenangan percuma akan memberikan mesej yang salah, seolah-olah parti pemerintah tidak perlu dicabar.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.