
Peguam itu disoal selama lebih kurang 1 jam di Balai Polis Brickfields hari ini bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Fadiah mempertahankan penulisannya dan berkata rakyat juga berhak menilai dan mengkritik artikel itu.
“Saya tak terkejut disiasat polis tetapi penggunaan Akta Hasutan oleh pihak berkuasa adalah tidak sihat untuk negara lebih lagi diperintah kerajaan baru,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Brickfield.
Artikel itu dikatakan mengulas pertemuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini.
Ia mengundang kecaman daripada Perkasa dan Umno.
Fadiah disoal dari 4.00 petang dan melangkah keluar pada 5.15 petang. Dia tampil bersama peguam Ragunath Kesavan, Farhana Halim dan Quratul Ain.
Beliau mendedahkan dia disiasat selepas 2 laporan polis dibuat terhadapnya oleh seorang pelajar dan Perkasa.
Menurut peguam ini, dia tidak menjawab 2 soalan yang ditanya polis dalam sesi tadi.
“Satu soalan mengenai adakah cuba menghasut rakyat untuk jatuhkan sistem monarki. Soalan kedua, adakah penulisan saya cuba menyakitkan hati sesiapa.
“Dua soalan itu saya hanya akan jawab jika kes di bawa ke mahkamah. Di mahkamah lebih sesuai untuk saya jawab bukan di sini. Saya ada hak sebab saya baru suspek,” katanya.
Fadiah mendedahkan dia ada menerima ancaman kekasaran kerana penulisannya itu.
“Saya mesti pertahankan diri saya. Saya sedang meneliti untuk membuat laporan polis,” katanya.