Jangan salahkan agensi penguatkuasaan, kata Mustafar kepada Majlis Peguam

Jangan salahkan agensi penguatkuasaan, kata Mustafar kepada Majlis Peguam

Majikan hendaklah mematuhi undang-undang negara dengan menggajikan pekerja sebagaimana peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

Free Malaysia Today
Mustafar berkata, peraturan dan peluang untuk menggaji pekerja yang sah memang disediakan dan perlu mengikut syarat ditetapkan oleh kementerian dan kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali hari ini menggesa mana-mana pihak tidak menyalahkan agensi penguatkuasaan undang-undang yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, ini kerana mereka menjalankan tugas berlandaskan peruntukan undang-undang dan peraturan.

“Memang Malaysia masih perlukan pekerja asing, tetapi majikan hendaklah mematuhi undang-undang dalam negara dengan menggajikan pekerja sebagaimana peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

“Janganlah mana-mana pihak yang sibuk cuba menegak dan mempertahankan undang-undang, tetapi sebaliknya menyalahkan agensi penguatkuasaan undang-undang yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab berlandaskan peruntukan undang-undang dan peraturan,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT hari ini.

Sebelum ini, Majlis Peguam Majlis menggesa kerajaan menghentikan segera operasi membanteras pekerja asing tanpa izin kerana mereka tiada cara mendapatkan dokumen sah dengan sendiri, sebaliknya perlu bergantung kepada majikan.

Presidennya, George Varughese berkata, ramai pekerja asing tidak mempunyai dokumen sah kerana pihak berkuasa tidak menyediakan saluran bebas untuk mereka mendapatkan status tersebut.

Mengulas lanjut, Mustafar mengemukakan contoh apabila warga asing dilihat “berduyun-duyun” di negara ini dan penguat kuasa undang-undang dikatakan lemah dan tidak mengambil tindakan.

“Tetapi, apabila agensi penguatkuasaan bertindak terhadap pendatang haram, agensi ini pula dipersalahkan.

“Peraturan dan peluang menggaji pekerja yang sah memang disediakan dan perlu mengikut syarat ditetapkan oleh kementerian dan kerajaan.

“Namun demi memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, kami tidak akan berkompromi,” tegasnya.

Majlis Peguam: Hentikan operasi banteras pekerja asing

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.