
Akhbar Utusan memetik Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii berkata, tabung tersebut yang diwujudkan atas inisiatif Umno Pekan difahamkan tidak berfungsi awal pagi semalam.
“Orang ramai yang mahu menderma ke dalam tabung berkenaan tidak dapat berbuat demikian sehari selepas ia diwujudkan.
“Begitu juga untuk mengeluarkannya ia tidak dibenarkan. Tabung akaun yang diuruskan saya pula tiada masalah dan ia berfungsi dengan baik,” kata Razlan seperti dipetik akhbar itu.
Utusan yang memetik laporan Malay Mail menyebut, Ketua Wanita Umno Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman berkata, beliau hanya mengetahui pembekuan akaun tersebut pagi semalam.
“Perkara ini hanya terjadi kepada akaun derma di Pekan, saya tidak tahu mengenai tempat lain tetapi akaun ini dibuka oleh Umno Bahagian Pekan,” Zalmah dilaporkan berkata.
Setakat pukul 5 petang semalam, dana itu mengumpul derma berjumlah RM223,908.
Kutipan derma tersebut bertujuan membantu Najib membayar sebahagian wang ikat jamin berjumlah RM500,000 pada Isnin depan.
Najib membayar ansuran pertama RM500,000 pada Rabu selepas meminta untuk dibicarakan terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.