Vasanthapiriya mengaku ambil iPhone selepas ditunjuk rakaman video

Vasanthapiriya mengaku ambil iPhone selepas ditunjuk rakaman video

Guru disiplin Abu Salman Abdul Aziz berkata Vasanthapiriya berulang kali menafikan dia memasuki bilik guru dan mengaku selepas ditunjukkan video itu.

Free Malaysia Today
Guru disiplin SMK Methodist Nibong Tebal Abu Salman Abdul Aziz (kiri) meninggalkan prosiding inkues ditemani Pegawai Pendidikan Daerah, Kumanan Kandasamy.
GEORGE TOWN:
Pelajar Tingkatan Dua, M Vasanthapiriya mengaku memasuki bilik guru di sekolahnya dan mengambil iPhone selepas dia ditunjukkan rakaman video dari kamera pengawasan, prosiding inkues bagi penyiasatan kematiannya didengar hari ini.

Guru disiplin SMK Methodist Nibong Tebal Abu Salman Abdul Aziz berkata rakaman itu diambil dari 3 kamera di koridor di luar bilik guru.

Tiada kamera di dalam bilik guru, katanya kepada hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Tinggi.

Vasanthapiriya, 13, cuba membunuh diri pada 24 Januari selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.

Dia meninggal dunia selepas koma hampir seminggu di hospital.

Abu Salman berkata Vasanthapiriya berulang kali menafikan dia memasuki bilik guru tetapi akhirnya mengaku berbuat demikian apabila ditunjukkan sebahagian rakaman video tersebut.

Beliau berkata video itu menunjukkan Vasanthapiriya memasuki bilik guru pada jam 12.58 tengah hari dan meninggalkan bilik itu kira-kira 30 saat kemudian.

“Seorang rakan setugasnya menunjukkan rakaman dia berjalan ke bilik guru. Ia kemudiannya mengaku mengambil telefon tersebut,” katanya.

Abu Salman berkata beliau dan rakannya membuat lakon semula dengan menyuruhnya berjalan melepasi koridor untuk memastikan gadis dalam video itu sememang Vasanthapiriya.

“Ia mudah untuk mengatakan rakaman itu adalah dia. Dia mempunyai rambut panjang paras pinggang dan ia bergerak ke kiri dan ke kanan ketika dia berjalan. Dan apabila kami membuat lakonan semula, kami yakin rakaman itu adalah dia,” katanya.

Kemudian, sahabat Vasanthapiriya, S Yogamalar memberi keterangan bahawa dia kecewa apabila Vasanthapiriya menuduhnya mencuri telefon.

Yogamalar berkata dia dan bapanya ingin berjumpa dengannya tetapi tidak berpeluang kerana Vasanthapiriya dihantar ke hospital ketika mereka tiba di rumahnya.

V Parthipan, peguam yang mewakili guru yang kehilangan telefon, bertanyakan Yogamalar mengapa dia ponteng sekolah pada hari kejadian.

Yogamalar dan Vasanthapiriya belajar pada sesi petang yang bermula pukul 1.10 petang.

Yogamalar berkata beliau ponteng sekolah kerana adiknya yang berusia setahun dimasukkan ke Hospital Seberang pada hari itu. Dia juga berkata dia berada di sekolah pada waktu pagi untuk aktiviti kurikulum.

Parthipan kemudian bertanya mengapa dia tidak mendapat surat kebenaran untuk meninggalkan sekolah lebih awal.

Yogamalar berkata dia mahu memaklumkan kepada pihak sekolah tetapi kakaknya datang menjemputnya dan tergesa-gesa bertolak menyebabkan dia tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

Norsalha menangguhkan kes itu sehingga 13 Julai, sementara beliau akan melawat sekolah berkenaan bersama pegawai inkues. Beliau juga menetapkan 20 Julai untuk mendengar keterangan saksi dari pakar perubatan.

Pegawai inkues J S Kameni dan Yusaini Amer Abdul menyoal saksi hari ini, sementara Parthipan dan Sukhindarpal Singh menjadi pemerhati.

Saya tak marah, tak pukul Vasanthapiriya, kata guru

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.