
Beliau juga mengesahkan selama ini kerajaan Barisan Nasional tidak pernah gagal membayar balik pinjaman daripada kerajaan persekutuan.
Presiden Parti Warisan Sabah pernah menuduh kerajaan Barisan Nasional, dipimpin Tan Sri Musa Aman, tidak sedia bercakap tentang status kewangan negeri, dan mendakwa kewangan negeri teruk kerana tiada rizab.
Kenyataan Shafie itu, ketika menggulung ucapan di Dewan Undangan Negeri, menunjukkan Sabah mempunyai RM3.305 bilion dan “cukup untuk menampung keperluan harian”, kata Adun Apas, Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam dalam kenyataan berkata Shafie sepatutnya tumpu mendapatkan 20% royalti minyak yang dijanjikan Warisan dan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14, dan memulihkan hak-hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau berkata Warisan sebelum ini menjanjikan reformasi akan dilaksanakan serta-merta tetapi sekarang hanya mengatakan perbincangan mengenai pelbagai perkara sedang diadakan.
“Sudah jelas Shafie kini menjadi boneka Pakatan Harapan,” katanya.
Nizam berkata ketua audit negara melaporkan kerajaan BN Sabah tiada masalah sejak 16 tahun lalu sehingga 2016.
RAM Ratings juga memberikan penarafan AAA kepada pentadbiran negeri sejak 7 tahun lalu sehingga 2017.
Nizam menambah pentadbiran BN membentangkan belanjawan lebihan sejak 4 tahun dari 2015 hingga tahun ini, dengan belanjawan mencecah RM4.1 bilion dan lebihan RM65 juta.
“Rizab kewangan negeri juga meningkat sejak beberapa tahun lalu dan sejak 16 tahun lalu Sabah mencatatkan lebihan dalam akaun akaun hasil disatukan tahunan sehingga tahun lepas,” katanya.