
Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan China boleh memahami keputusan kerajaan baru untuk menangguhkan kerja bagi merundingkan semula terma kontrak.
Beliau juga tidak melihat penangguhan itu memberi kesan ke atas keyakinan pelabur asing. Kebimbangan hanya akan berlaku sekiranya projek itu dibatalkan tanpa sebab munasabah, katanya. Jika itu berlaku pelabur akan hilang keyakinan terhadap kesediaan kerajaan menghormati kontrak.
Barjoyai berkata pembayaran di bawah kontrak ECRL perlu dibuat berdasarkan jadual yang dipersetujui bukannya mengikut kemajuan kerja projek.
“Jadi ada kemungkinan pembayaran yang dibuat tidak menggambarkan kemajuan projek, katanya, dan menambah bahawa fi pendahuluan sebanyak 15% juga perlu dibayar oleh kerajaan.
Penganalisis, Dr Ngeow Chow Bing dari Institut Pengajian China Universiti Malaya berkata, beliau memahami kekecewaan kontraktor utama, syarikat milik kerajaan, China Communications Construction Company (CCCC) berhubung penangguhan projek.
Namun begitu katanya, China juga perlu memahami sebab kenapa kerajaan baru mahu berunding semula terma kontrak. “China perlu bersikap terbuka dan bersedia berunding semula mengenai kontrak tersebut.”
China juga perlu mengambil kira niat kerajaan baru meneruskan hubungan cemerlang China-Malaysia yang sedia terjalin.
Penangguhan projek dibuat selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan jumlah akhir kos projek akan mencecah sebanyak RM81 bilion, bukannya RM55 bilion seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.
Jumlah itu perlu dikurangkan dengan banyak bagi menjadikan projek tersebut berdaya maju dari segi kewangan, katanya.
Lim sebelum itu mempersoalkan bayaran fi yang besar walaupun kemajuan fizikal projek tidak banyak dicapai.
Baru-baru ini timbul dakwaan wujudnya amalan kronisme melibatkan projek berkenaan apabila pecah berita pembelian sejumlah besar saham sebuah syarikat kontraktor oleh pengerusi eksekutif Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan, yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berita mengenai pembelian saham itu tersebar selepas kerajaan mengumumkan projek berkenaan akan dikaji semula, selepas berkata ia dibatalkan sebelum itu.
Tan berkata beliau tidak tahu bahawa syarikat terbabit, T7 Global, merupakan kontraktor ECRL. Katanya beliau telah menjual semula semua saham syarikat itu.
Kontraktor utama ECRL ‘susah hati’, harap tangguh kerja dibatal
Putrajaya tetapkan syarat sebelum beri lampu hijau kepada ECRL