Dr M: Kerajaan tak usir Zakir Naik selagi beliau tak cetus masalah

Dr M: Kerajaan tak usir Zakir Naik selagi beliau tak cetus masalah

Ini kerana, kata perdana menteri, penceramah kontroversi dari India itu sudah diberikan status penduduk tetap.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad turut menjawab soalan mengenai pembekuan akaun keluarga Najib Razak, lawatan ke China, calon PH untuk PRK Dun Sungai Kandis dan pelantikan timbalan menteri pertahanan dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan mengusir penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

“Selagi dia tidak menimbulkan sebarang masalah, kita tidak akan mengusirnya kerana dia sudah diberikan status penduduk tetap,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun dan peguam Zakir, Shaharuddin Ali dilaporkan berkata, mereka belum menerima sebarang notis ekstradisi Zakir yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan menyebarkan ekstremisme.

Bagaimanapun, India menerusi Kementerian Luarnya mengesahkan sudah membuat permohonan rasmi kepada Putrajaya untuk mengekstradisi Zakir.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, keluarga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh memfailkan saman di mahkamah jika tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membekukan akaun keluarganya salah di sisi undang-undang.

Pengerusi PH itu berkata, kerajaan tidak berniat membalas dendam terhadap Najib dan keluarganya.

“Kita nak balas dendam buat apa. Yang dia buat dulu kita tak persoalkan.

“Semua kawan saya dihalau, tak bagi berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan. Kita tak persoalkan.”

Beliau menjawab dakwaan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa yang menuduh kerajaan cuba membalas dendam terhadap bapanya dengan membekukan akaun beliau dan anaknya selepas membayar ikat jamin untuk bapanya, Rabu lalu.

Dr Mahathir turut menjawab soalan media berkaitan isu lain:

Calon PH untuk Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis:

Kita akan buat persiapan termasuk tentukan calon Pakatan Harapan akan datang daripada PKR. Kita akan bertanding menggunakan logo PKR. Kita belum buat senarai pendek calon.

Calon timbalan menteri pertahanan:

Ada, tapi tak dapat dilantik waktu ini kerana dia bukan terdiri daripada wakil rakyat. Kita perlu lantik dia sebagai senator dulu, baru boleh jadi (timbalan menteri), tetapi ini tak jadi masalah kepada Kabinet.

Dalam Kabinet, apabila seseorang menteri tidak dapat hadir, dia boleh angkat seorang ahli Kabinet yang lain untuk mewakilinya, dia tak boleh angkat seorang timbalan menteri. Yang jadi masalah hanyalah apabila kita ada persidangan Dewan (Rakyat), pada masa itu, biasanya timbalan menteri yang berkenaan akan mewakili ataupun menjawab bagi pihak menteri.

Lawatan ke China:

Saya mahu pergi ke China seawal mungkin, tapi presiden China tak lapang pada Julai, jadi saya akan pergi pada Ogos.

Isu yang akan dibincangkan dengan China:

Ada beberapa isu akan dibangkitkan, antaranya ketidakadilan syarat kontrak dan juga pinjaman, serta faedah juga menjadi kebimbangan kita kerana faedah lebih tinggi apabila kerajaan pinjam. Biasanya, kerajaan pinjam pada (kadar faedah) 3% dan ke bawah, (tetapi) ini adalah tinggi.

Kenapa Tun Daim Zainuddin ke China lebih awal:

Saya rasa beliau mungkin mahu membincangkan beberapa kontrak dengan China. Itu tekaan saya kerana beliau bebas membuat apa yang beliau mahu. Beliau boleh memberi apa sahaja nasihat kepada dan saya boleh tolak nasihatnya.

Khazanah Nasional Bhd tersasar daripada matlamat:

Ia agak ketara mereka buat pelbagai perkara pelik. Mereka beli rumah, ambil alih syarikat. Khazanah pada asalnya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera kerana Bumiputera apabila membeli saham, mereka menjualnya serta-merta kepada orang lain.

Jadi, untuk menghentikan mereka berbuat demikian, kami wujudkan Khazanah. Tetapi, kini Khazanah nampaknya mengambil semua saham, sama ada untuk Bumiputera atau tidak. Oleh itu, mungkin mereka patut kembali kepada tujuan asal.

Ahli perniagaan Low Taek Jho melarikan diri ke Macau:

Saya tidak mengikuti pelayaran Jho Low. Jadi, saya tak tahu di mana beliau. Ini terpulang kepada orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengesan dan menangani semua masalah yang dicetuskan 1MDB dan salah laku lain oleh kerajaan terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.