
Peguam KL Karnival Sdn Bhd, Adnan Seman berkata, saman tersebut merupakan tuntutan kerugian dialami berkaitan kos yang dikeluarkan bagi membina tapak KL Karnival bermula Disember 2016 dan kerugian kerana gagal mengutip sewa daripada 430 peniaga khemah dan 210 peniaga kontena kerana tidak dapat menjalankan perniagaan berikutan pembatalan kontrak oleh pihak stadium atas sebab yang tidak jelas.
Adnan berkata, Perbadanan Stadium Malaysia telah mengambil sebahagian daripada tanah pada Mac 2017 yang diberikan kepada KL Karnival Sdn Bhd untuk menyediakan tempat letak kereta di kawasan tanah berkenaan yang terletak di Taman Sukan Extreme, Bukit Jalil.
“Kerja-kerja yang dibuat oleh Perbadanan Stadium ini menyebabkan KL Kanival Sdn Bhd tak dapat beroperasi sepenuhnya di tapak KL Karnival itu.
“Jadi peniaga tak dapat jalankan perniagaan seperti yang dirancangkan. Ada beberapa siri perbincangan antara syarikat dengan Perbadanan Stadium dan pada akhirnya penyewaan tersebut dibatalkan,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata Perbadanan Stadium mendakwa pembatalan berkenaan dibuat kerana kegagalan plaintif menjelaskan bayaran sewa kepadanya.
Bagaimanapun, Adnan berkata isu sebenarnya ialah mereka tidak dapat menjalankan perniagaan seperti yang dipersetujui.
Adnan berkata, saman yang dikemukakan itu bertujuan untuk menuntut keadilan.
Pengerusi Eksekutif KL Karnival Sdn Bhd, Muhamad Rustam Roshandin pula berkata, tapak KL Karnival itu merupakan tapak baru di Bukit Jalil setelah beroperasi di Velodrom Cheras.
“Kami jalankan perniagaan bermula 2006 di Velodrom Cheras dan menganjurkan Bazarian selama 10 tahun di situ sebelum terpaksa berpindah ke lokasi baru.
“Kami menjumpai sekeping tanah berdekatan Stadium Bukit Jalil (Taman Sukan Extreme). Ia tanah terbiar, tidak diguna pakai, jadi kita berminat untuk menjalankan dan memindahkan peniaga ke situ.
Berikutan itu, katanya, pihak perbadanan memberikan kontrak penyewaan kepada syarikat terbabit sehingga Disember 2020 dan syarikat melabur sebanyak RM10 juta untuk menyiapkan tapak.
“Malangnya selepas siap tapak, hanya beberapa bulan sahaja beroperasi, kami terpaksa keluar atas sebab yang kita tak pasti,” katanya.