
Katanya kajian ini dibuat memandangkan ada di antaranya digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat.
“Kita sedang kaji kesan kesan daripada banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan kerana banyak undang undang ini menekan rakyat, tidak memberi kebebasan bersuara, kebebasan surat khabar dan juga kebebasan bertindak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja penyiapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Langkawi.
Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mengatakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 mungkin akan dikekalkan walaupun Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk menghapuskannya sekiranya menang dalam pilihan raya umum lepas.
Menurut Mohamad, akta yang memberi kuasa penuh kepada perdana menteri seperti mengisytiharkan darurat memberikan kebaikan untuk pegawai kerajaan menjalankan tugas.
Dr Mahathir berkata dalam memberikan pertimbangan kepada undang-undang ini, kerajaan PH pimpinannya tidak akan menyekat pergerakan parti pembangkang yang pernah memerintah dahulu.
“Kita tidak akan sekat parti lawan seperti Barisan Nasional. Dia nak buat apa pun buatlah. Kita kena pinda banyak undang-undang mengikut keperluan,” katanya.
Sementara itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan presiden UMNO semalam.
Menurutnya kemenangan itu cukup besar dan memberi makna bahawa Ahmad Zahid disayangi oleh orang UMNO.