Exco: Henti pembangunan laut hampir Perkampungan Portugis

Exco: Henti pembangunan laut hampir Perkampungan Portugis

Exco pelancongan Melaka, Muhamad Jailani berkata isu pencemaran dan kerosakan di kawasan perkampungan berkenaan telah lama berlaku dan diperjuangkan penduduk.

Free Malaysia Today
Pembangunan dilaksanakan di perairan berhampiran Perkampungan Portugis memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan perkampungan itu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Projek pembangunan di perairan negeri Melaka khususnya berhampiran Perkampungan Portugis perlu dihentikan kerana ia dilihat lebih memberi kesan buruk terhadap kawasan perairan, perkampungan berkenaan dan industri pelancongan negeri.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhamad Jailani Khamis berkata cadangan menghentikan projek pembangunan oleh sebuah syarikat swasta di perairan Selat Melaka itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

“Perkampungan Portugis merupakan satu daripada ikon pelancongan negeri Melaka serta negara kerana keunikan masyarakat berkenaan hanya ada di sini dan menjadi tarikan pelancongan popular sejak dahulu.

“Namun pembangunan yang dilaksanakan di perairan berhampiran Perkampungan Portugis memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan perkampungan itu juga, sekali gus melumpuhkan pelbagai aktiviti penduduk,” katanya selepas melancarkan Pesta San Pedro, malam tadi.

Beliau berkata kerakusan pemaju atau syarikat swasta membangunkan projek mereka di perairan tersebut menyebabkan hakisan, perubahan struktur muara sungai dan mendapan lumpur sehingga memberi kesan kepada aktiviti perikanan yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar penduduk perkampungan itu.

Katanya pemaju yang terlibat perlu menitikberatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, memastikan kesan pembangunan dilakukan dikurangkan dengan mendalamkan laut agar tiada mendapan lumpur berlaku dan aliran air lancar.

Muhamad Jailani berkata isu pencemaran dan kerosakan di kawasan perkampungan berkenaan telah lama berlaku dan diperjuangkan penduduk namun tidak mendapat perhatian atau tindakan, khususnya langkah menyelesaikannya.

Beliau berkata aspek undang-undang dan peraturan sedia ada bagi melindungi perkampungan itu daripada kemusnahan secara perlahan akan turut dilihat sekiranya pendekatan lain tidak berkesan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan merujuk penganjuran Pesta San Pedro yang menjadi satu daripada perayaan utama masyarakat Portugis di perkampungan itu kepada Kementerian Pelancongan untuk mendapatkan dana.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.