Suaram tuntut PH kotakan janji hapus Akta MKN

Suaram tuntut PH kotakan janji hapus Akta MKN

NGO hak asasi manusia itu berkata, PH tidak patut melanggar janjinya untuk memansuhkan undang-undang bersifat menindas dalam manifesto PRU14.

Free Malaysia Today
Kerajaan PH berkata, ia akan mengkaji Akta MKN, tetapi Suaram menuntut kerajaan baru menghapuskan undang-undang kontroversi itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengotakan janji pilihan rayanya untuk memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara kerana undang-undang itu tiada tempat dalam negara demokratik.

“Peruntukan tidak berperlembagaan di bawah akta itu, termasuk memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan zon keselamatan dan menahan individu mengikut kehendaknya, melanggar semua prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” kata penyelaras projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dobby Chew kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengekalkan atau memansuhkan undang-undang kontroversi itu.

Chew berkata, PH berjanji memansuhkan undang-undang bersifat menindas dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan ia tidak patut melanggar janjinya.

“Jika janji seperti itu tidak dikotakan, bagaimana PH berbeza daripada Barisan Nasional (BN) pra-PRU14? Ia adalah hipokrit untuk tidak memansuhkan (Akta) MKN.

“Setahun lalu, PH bersedia mengenai keperlembagaan (Akta) MKN dan potensi bahayanya terhadap kebebasan awam dan hak asasi manusia. Ia turut bercakap menegani potensi penyalahgunaan kuasa. Apa yang berubah?”

Chew mengakui ada nilai jika mempunyai agensi penyelarasan ketika kecemasan berlaku, tetapi kajian dan rundingan sewajarnya perlu dilakukan sebelum melantik agensi seperti itu.

“Meneruskan undang-undang tercemar yang diluluskan pada zaman BN ialah penghinaan terhadap perjuangan hak asasi manusia dan demokrasi di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.