Remaja perempuan ditikam kritikal di hospital

Remaja perempuan ditikam kritikal di hospital

Berikutan tikaman itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan cedera di perut dan tangan kiri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah.

Free Malaysia Today
Kejadian berlaku pada 8.48 malam ketika kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan senjata tajam. (Gambar fail)
JOHOR BAHRU:
Seorang remaja perempuan kritikal selepas ditikam seorang lelaki, dipercayai teman lelakinya dalam kejadian di hadapan asrama pekerja di Lima Kedai, Gelang Patah, Khamis lepas.

Kejadian berlaku pada 8.48 malam ketika kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan senjata tajam.

Berikutan tikaman itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan cedera di perut dan tangan kiri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Supt Ismail Dollah berkata orang awam membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan gerakan mengesan suspek kemudian dilancarkan.

“Dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, suspek berumur 26 tahun itu akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bukit Mertajam pada 28 Jun pukul 4.40 petang,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata menerusi siasatan awal, suspek dan mangsa didapati bekerja di kilang sama iaitu di Tanjung Kupang, namun punca sebenar kejadian masih disiasat.

Suspek pula sudah direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.