Skandal 1MDB tak jejas minat pelabur tempatan, asing, kata TRX

Skandal 1MDB tak jejas minat pelabur tempatan, asing, kata TRX

CEO TRX Azmar Talib berkata pihaknya kini dalam rundingan awal dengan para pelabur.

Free Malaysia Today
Azmar Talib berkata 80% fasa pertama projek TRX telah disiapkan dan dijangka selesai pada suku pertama tahun depan.
KUALA LUMPUR:
Siasatan berhubung skandal 1MDB tidak akan menjejaskan perjalanan projek Tun Razak Exchange (TRX) dan kehadiran pelabur ke atas projek itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd (TRX City) Datuk Azmar Talib berkata projek TRX kini dibawah pemantauan kerajaan dan ia diteruskan.

“Tidak ada masalah mengenai pelabur, kami menerima banyak pertanyaan dari pelabur tempatan dan antarabangsa untuk mereka melabur di sini. Kini dalam rundingan awal,” katanya pada talimat media mengenai maklumat terkini pembangunan TRX di TRX Gallery.

Minggu lalu, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk menyuntik RM2.8 bilion bagi menyiapkan projek TRX, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, atau perlu membayar pampasan sebanyak RM3.5 bilion.

“Keputusan ini akan membantu mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing yang sudah melabur berbilion ringgit, mengenai nasib TRXC,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menambah keputusan itu dibuat Kabinet, walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan diseleweng dari syarikat itu oleh 1MDB.

Mengulas lanjut, Azmar berkata 80% fasa pertama projek Tun Razak Exchange (TRX) telah disiapkan dan dijangka selesai pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya, pembangunan fasa pertama itu melibatkan menara The Exchange 106 dan Prudential sambil berkata: “Kami menjangkakan 2 bangunan ini akan siap sepenuhnya mengikut jadual untuk diduduki pada awal tahun depan.

“Sementara itu, fasa ke-2 pula akan siap sepenuhnya pada tahun 2020 yang melibatkan Exchange Mall dan ibu pejabat baharu HSBC Malaysia dan Affin Bank,”

TRX yang terletak di tanah seluas 70 ekar di tengah-tengah ibu kota, disebut-sebut akan menjadi pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa utama.

Ia adalah satu daripada 2 projek hartanah utama di bawah payung 1MDB dimiliki TRXC, satu lagi ialah projek pembangunan Bandar Malaysia di tanah seluas 486 ekar.

Putrajaya tiada pilihan kecuali suntik RM2.8 bilion siapkan projek TRX

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.