Peluang Umno Sabah suarakan autonomi politik, kata Rahman Dahlan

Peluang Umno Sabah suarakan autonomi politik, kata Rahman Dahlan

Umno Sabah mempunyai seramai 100 ribu ahli beragama Kristian dan peluang untuk bersuara mewakili Sabah perlu diberikan.

Free Malaysia Today
Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, kepimpinan Umno Sabah perlu diberikan peluang memandangkan realiti Umno Sabah berbeza dengan corak politik di Semenanjung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilihan kali ini adalah peluang terbaik untuk ahli Umno di Sabah menyuarakan autonomi politik buat negeri berkenaan, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Calon Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno berkata, kepimpinan Umno Sabah perlu diberikan peluang memandangkan realiti Umno Sabah sendiri berbeza dengan corak politik di Semenanjung.

“Keadaan kita berbeza dan inilah masa terbaik untuk Umno Sabah menuntut autonomi dalam politik untuk melakukan perubahan dalam konteks Sabah bagi memastikan kita melangkah lebih kuat.

“Di Sabah kita berdepan dengan parti tempatan iaitu Parti Warisan dan Umno di Sabah juga tidak mahu dikategorikan sebagai parti Malaya. Kita mahu autonomi seiiring dengan Umno pusat.

“Kita mesti diberikan hak untuk memberi pandangan berbeza dalam apa-apa juga konteks, termasuk peluang khusus di Sabah,” katanya dalam Dialog AMT Umno di Astro Awani, malam tadi.

Bekas menteri kabinet dalam pentabiran Datuk Seri Najib itu berkata demikian kerana mengambil kira Umno di Sabah mempunyai seramai 100 ribu ahli beragama Kristian.

Pada masa sama, Rahman turut bersetuju dengan manifesto calon presiden Umno Khairy Jamaluddin yang berhasrat mewujudkan jawatan naib presiden khusus untuk negeri Sabah.

“Dalam konteks Sabah, saya tertarik dengan apa yang disuarakan Khairy, iaitu mahu mewujudkan jawatan naib presiden khusus untuk Sabah.

“Macam kami ini di sini, susah untuk berkempen di Semenanjung, biarlah kami bertanding di antara kami untuk jawatan naib presiden yang diberikan untuk Sabah. Konteks dan lokasi Umno Sabah berbeza dengan Umno lain,” katanya.

Umno sedia minta maaf

Pada masa sama, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya pula berkata, pemimpin Umno sedia memohon maaf jika syarikat milik penuh Kementerian Kewangan iaitu 1MDB benar-benar terbabit dengan salah laku.

“Sekiranya 1MDB benar-benar ada pertuduhan hingga dijatuhkan hukuman, maka saya terbuka untuk memohon maaf kerana selama ini pendirian kita mempertahankan syarikat itu terbukti tidak tepat dan salah.

“Kita pertahankan syarikat itu atas dasar ia akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara. Jika terbukti 1MDB bersalah, kesediaan kita memohon maaf boleh menjadi platform awal untuk buktikan Umno bersedia mengakui kesilapan dan berubah,” katanya.

Fathul yang merupakan Exco Pemuda Umno itu berkata, permohonan maaf secara terbuka juga menampakkan sikap mulia pimpinan Umno yang terbuka dan tidak mempunyai masalah untuk mengakui kesilapan.

Katanya gabungan politik Tun Dr Mahathir Mohamad dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan pun pada peringkat awalnya bermula dengan permohonan maaf.

“Dr Mahathir dahulu bersikap radikal terhadap DAP, tetapi berubah menjadi positif kerana permohonan maaf,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.