Mat Sabu: Kerajaan belum putus status ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya

Mat Sabu: Kerajaan belum putus status ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya

Menteri Pertahanan itu berkata kedudukan KSCIP akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk diputuskan hala tujunya.

Free Malaysia Today
Mat Sabu berkata Malaysia mengambil berat berkaitan peningkatan ketenteraan di terumbu yang diduduki pihak China.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan masih belum memutuskan mengenai kedudukan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Kedudukan KSCIP akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk diputuskan hala tujunya,” katanya dalam siri wawancara bersama media.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

KSCIP akan ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL, atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.

Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, bersamaan 20 padang bola sepak.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu pernah mempersoalkan komitmen Malaysia menjadi tuan rumah kepada KSCIP yang diilhamkan Arab Saudi, pada Julai 2017.

Beliau terkilan Malaysia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, sedangkan negara itu di bawah penelitian disebabkan ideologi pelampaunya.

Ketika ditanya mengenai keberadaan China di Kepulauan Spartly, Mohamad berkata kapal China seperti kapal negara lain yang mempunyai kebebasan berlayar di perairan antarabangsa seperti yang termaktub dalam UNCLOS 1982.

“Sesungguhpun begitu Malaysia mengambil berat berkaitan peningkatan ketenteraan atau militarization di terumbu-terumbu yang diduduki oleh pihak China.

“Kehadiran aset-aset ketenteraan China ini menyebabkan dilema keselamatan di kalangan negara-negara pesisir dan negara-negara berkepentingan di rantai Asia Tenggara.

“Malaysia sentiasa menekankan agar penyelesaian dicapai secara aman dan menolak sebarang tindakan ketenteraan yang boleh menyebabkan konflik dan ketidakstabilan di rantau ini.”

 

Kerajaan akan kaji ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya, kata Mat Sabu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.