
Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tidak ada larangan memanfaatkan pandangan mazhab lain walaupun umat Islam di Malaysia, Indonesia Selatan dan Thailand mengikuti mazhab Shafie.
“Pengasas dia bukan nak buat mazhab asalnya, dia mengajar selepas itu makin ramai pelajar dan membahagikan mazhab.
“Kita boleh, sebab kita tidak boleh yakin kebenaran itu di dalam mazhab kita sahaja, mungkin ada di mana-mana,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.
Terdapat 4 mazhab fiqah dalam aliran Sunnah Wal Jamaah, iaitu Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Wan Salim berkata, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin meminta penjelasannya berhubung jenis mazhab dan adakah umat Islam boleh menukar mazhab serta jangan terlalu fanatik dengan mazhab.
Beliau percaya Islam perlu memberi penyelesaian kepada semua isu kemanusiaan dan ada kalanya mazhab lain mempunyai jalan penyelesaiannya.
“Jika kita ibadat, solat dan puasa itu okeylah ikut Shafie, tetapi isu kepada muamalat atau transaksi sosial kena berani merentasi mazhab-mazhab.
“Tidak boleh terhad hanya dengan mazhab kita. Ini untuk menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan zaman. Tetapi, masih ada pandangan lama yang relevan dan pandangan yang tidak relevan, kita ubah.”
Sementara itu, katanya, Jakim masih diperlukan, tetapi ia perlu mengelakkan daripada dijadikan alat politik.
“Saya ingat masih lagi perlu untuk selaras pandangan mufti dan isu bersifat nasional, kalau negeri kita serah kepada negeri.
“Tetapi, kalau Jakim melampaui fungsi yang sepatutnya, kempen kepada politik, saya tak sokonglah.”