
Majistret, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pengarah urusan bersama peguam syarikat itu mulai hari ini sehingga 2 Julai bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
Pengarah urusan berumur 59 tahun itu ditahan 5.30 petang semalam, manakala peguam berusia 30 tahun ditahan 2.45 petang semalam ketika mereka memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.
Kedua-dua lelaki yang berbaju lokap SPRM itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.30 pagi dengan tangan digari.
Awal bulan ini, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa ditawarkan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.
Pemimpin itu turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak, Januari 2017.
Pada 11 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekalkan tenaga solar dan diesel di 369 sekolah Sarawak.
Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.
Sebelum 2017, diesel yang digunakan sekolah itu dibekalkan secara kontrak oleh beberapa kontraktor.
Bermula 1 Januari 2017, Jepak Holding Sdn Bhd yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu selama 3 tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai “melebihi RM1 bilion”, termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Selain membekalkan diesel di sekolah pedalaman Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama 3 tahun.