
Presiden Eaglexpress Kapten Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suasa Kapten Sheikh Salleh Abod berkata badan kawal selia itu tidak memainkan peranannya dalam menggalakkan industri penerbangan untuk berkembang tetap sebaliknya menekannya.
“Mereka (Mavcom) boleh dikatakan membunuh kami (industri). Menteri pengangkutan baru perlu melihat semula fungsi-fungsi Mavcom sama ada ia masih lagi berdaya maju.
“Kami berharap akan ada pertanggungjawaban (tidak seperti kerajaan sebelum ini) kerana Eaglexpress banyak berdepan dengan ketidakadilan Mavcom,” katanya pada satu sidang akhbar.
Azlan dan Sheikh Salleh dengan tegas berpendapat Permit Perkhidmatan Udara (ASP), yang ketika ini diuruskan oleh Mavcom, harus dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Mereka berkata sebelum penubuhan Mavcom, segalanya ditadbir di bawah CAAM bersama Kementerian Pengangkutan dengan semua tugas dilaksanakan dengan cekap.
“Pada masa lalu apabila CAAM menguruskan industri penerbangan negara, ia kurang daripada 10 orang. Namun ia cekap dan tidak menanggung kos tinggi, yang saya rasa sekitar RM50,000 setahun,” kata Sheikh Salleh.
Mavcom ditubuhkan pada 1 Mac 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam di Malaysia.
Susulan itu, permohonan bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau ASP perlu dibuat menerusi Mavcom dan bukannya dengan CAAM.
Beberapa bulan selepas penubuhannya, Mavcom membatalkan ASP Eagleexpress pada Disember 2016 kerana syarikat penerbangan bagi umrah dan haji itu tidak memenuhi keperluan berkanun untuk memiliki minimum RM30 juta dalam akaun manakala lesen Suasa digantung.