
Zahid yang kini menjalankan tugas presiden Umno berkata, beliau dan rakan dalam Majlis Tertinggi tahu cara menguruskan parti tanpa perlu campur tangan pihak ketiga.
“Saya ingin menjelaskan saya tidak pernah meminta nasihat Tun bagaimana untuk menguruskan Umno. Saya dan rakan-rakan tahu menguruskan parti kami sendiri,” katanya selepas menghadiri perjumpaan khas dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Ahli Jawatankuasa Umno di Dewan Umno Kelantan hari ini.
Hadir sama Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa calon yang akan bertanding dalam pemilihan Umno, antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Noh Omar.
Awal bulan ini, Zahid dilapor mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Putrajaya, selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Perdana menteri kemudiannya dilaporkan mendakwa dalam pertemuan itu, Zahid meminta nasihatnya menguruskan Umno.
Mengenai pertemuan itu, Zahid berkata: “Saya tidak perlu menyebutkan kerana itu adalah perbincangan empat mata. Saya tidak boleh berkongsi (mengenai perbincangan dengan perdana menteri).”
Mengulas pelawaan berdebat oleh calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Zahid berkata, parti itu tidak berhasrat mengikut sistem parti Demokrat atau Republikan di Amerika Syarikat yang sering mengadakan perdebatan antara calon mewakili parti masing-masing.
“Acuan politik kita adalah acuan politik keluarga. Umno adalah parti besar orang Melayu. Eloklah jika ada isu-isu walaupun kita mahu meraikan perbezaan, kita buat di halaman rumah kita sendiri dan kita tidak perlu berkongsi perbezaan pendapat ini dengan orang lain yang tidak mahu melihat Umno ini kukuh. Biarlah kita selesaikan secara Umno dengan ukhuwah dan rasa kekeluargaan.”
Dalam pada itu, beliau menegaskan ahli Parlimen dan adun BN perlu menjadi pembangkang konstruktif, bukannya bersifat destruktif.
“Penubuhan Umno dan BN untuk memperkasakan kedudukan Islam, orang Melayu, institusi raja, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga hak istimewa orang Melayu harus dipertahankan kerana itu termaktub dalam Perlembagaan.
“Saya dan rakan-rakan akan bersama menterjemahkan tasawur ini, iltizam ini, wawasan ini dan juga komitmen kami untuk relevankan Umno dalam pentas politik di tanah air kita.”