Putrajaya tiada pilihan kecuali suntik RM2.8 bilion siapkan projek TRX

Putrajaya tiada pilihan kecuali suntik RM2.8 bilion siapkan projek TRX

Menteri kewangan berkata, kegagalan berbuat demikian bermakna kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM3.5 bilion dan menyebabkan pemandangan 'menyakitkan mata' di KL.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng berkata, RM2.8 bilion akan dibayar secara berperingkat sehingga 2024 dengan kerajaan membayar RM344 juta tahun ini. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Kerajaan perlu menyuntik RM2.8 bilion untuk menyiapkan projek Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur yang dilaksanakan TRX City Sdn Bhd (TRXC), sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, atau perlu membayar pampasan sebanyak RM3.5 bilion.

“Keputusan ini akan membantu mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing yang sudah melabur berbilion ringgit, mengenai nasib TRXC,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menambah keputusan itu dibuat Kabinet, walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan diseleweng dari syarikat itu oleh 1MDB.

Katanya, TRXC dikehendaki menyiapkan kerja infrastruktur dalam projek itu, tetapi tidak mempunyai kos kira-kira RM2.8 bilion.

“Alternatif tiada dana RM2.8 bilion dan tidak dapat menyiapkan projek itu ialah membayar RM3.51 bilion dalam tuntutan ganti rugi dan juga projek mega terbelangkai yang akan menyakitkan mata memandang di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Oleh itu, selain membayar pampasan RM3.51 bilion, kerajaan juga akan kehilangan RM3.7 bilion yang dipindahkan kepada TRXC sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

TRX yang terletak di tanah seluas 70 ekar di tengah-tengah ibu kota, disebut-sebut akan menjadi pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa utama.

Ia adalah satu daripada 2 projek hartanah utama di bawah payung 1MDB dimiliki TRXC, satu lagi ialah projek pembangunan Bandar Malaysia di tanah seluas 486 ekar.

Ditanya bagaimana wang itu diseleweng, Lim berkata, syarikat itu tiada wang untuk projek itu.

Ditanya siapa yang meluluskan projek itu, katanya: “Sangat jelas siapa yang meluluskannya. Kami akan biarkan panel siasatan tanganinya kerana saya rasa ia membabitkan beberapa individu”.

Beliau berkata, RM2.8 bilion akan dibayar secara berperingkat sehingga 2024 dengan kerajaan membayar RM344 juta tahun ini.

“Walaupun projek ini ialah contoh klasik bagaimana 1MDB menggunakan wang untuk membayar hutangnya yang tidak kaitan dengan projek ini, pada masa sama ia tidak memaksimumkan nilai tanah utama di tengah-tengah KL.”

Lim berkata, pembinaan Menara The Exchange 106 dijangka soap menjelang akhir tahun ini.

Katanya, adalah penting menyiapkan projek TRX untuk memberi keyakinan kepada pelabur kerana sesetengah pelabur asing sudah membeli tanah.

Beliau berkata, ada beberapa pelabur asing terkemuka, seperti HSBC, Prudential, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji dan Mulia Property Development.

Beliau memberi jaminan kepada pelabur tempatan dan asing yang pelaburan mereka tidak akan terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.