Jawatankuasa khas runding monopoli Bernas, kata Salahuddin

Jawatankuasa khas runding monopoli Bernas, kata Salahuddin

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat bagi mengemukakan satu model baru berhubung penamatan perjanjian konsesi Bernas yang akan berakhir pada 2021.

Free Malaysia Today
Menteri terbabit sebelum ini dilaporkan berkata penamatan monopoli Bernas akan membentuk pasaran lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jawatankuasa Khas diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan siri rundingan bersama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi mengkaji isu monopoli Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat bagi mengemukakan satu model baru berhubung penamatan perjanjian konsesi Bernas yang akan berakhir pada 2021.

“Model tersebut akan dibawa dan dibincangkan oleh Kabinet, selepas itu akan dihuraikan kepada rakyat dan semua yang berkepentingan, bagaimana operasi model baru tersebut setelah (perjanjian bersama) Bernas ditamatkan.

“Kita akan melihat kepada keputusan Bernas itu sendiri kerana konsesinya akan tamat pada 2021, terpulang kepada Bernas namun akan ada siri rundingan dan konsultasi antara kementerian, jawatankuasa khas dan Bernas,” katanya, hari ini.

Salahuddin sebelum ini dilaporkan berkata penamatan monopoli Bernas akan membentuk pasaran lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini, antara lain dengan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata kementeriannya komited dalam membangunkan sektor agropelancongan.

“Sebanyak RM3 juta diperuntukkan dalam Bajet 2018 bagi tujuan tersebut dan saya telah lihat semua peruntukan yang ada, ia menjadi iltizam saya bahawa apa yang ada ini kita ‘deliver’ (laksanakan) dengan cepat, tiada kerenah birokrasi, saya wujudkan ‘fast track’ dalam ‘delivery system’ supaya ia sampai cepat kepada golongan sasar,” katanya.

Menurutnya perbincangan akan diadakan dengan kementerian lain sebagai satu inisiatif bersepadu untuk menjadikan agropelancongan sebagai elemen yang penting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.