Indeks harga pengguna pada Mei meningkat 1.8%

Indeks harga pengguna pada Mei meningkat 1.8%

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2% berbanding April 2018.

Free Malaysia Today
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks keseluruhan itu turut terjejas akibat peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.8% pada Mei.
KUALA LUMPUR:
Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang mengukur kadar inflasi secara menyeluruh, meningkat 1.8% kepada 121.1 pada Mei 2018 berbanding 119.0 bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan semalam, Jabatan Perangkaan berkata kumpulan utama yang mencatat peningkatan adalah indeks pengangkutan (+3.8%), makanan dan minuman bukan alkohol (+2.2%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1%), restoran dan hotel (+2.1%), kesihatan (+1.9%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+1.5%).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2% berbanding April 2018.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks keseluruhan itu turut terjejas akibat peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.8% pada Mei.

“IHP bagi Januari-Mei mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7% berbanding tempoh sama pada tahun lepas,” katanya.

Secara keseluruhan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% kepada wajaran IHP, meningkat 2.2% pada Mei 2018.

Kenaikan itu didorong oleh indeks subkumpulan makanan ikan dan makanan laut (+3.2%), buah-buahan (+1.9%) beras, roti dan bijirin lain (+1.6%), gula, jem, madu, coklat dan manisan (+1.2%) dan daging (+1.0%).

Secara keseluruhan, 3 negeri melepasi paras IHP nasional 1.8% yang dicatatkan pada Mei 2018 berbanding Mei 2017 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.2%), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+2.1%) dan Johor (+2.0%).

Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol lebih tinggi turut dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, 4 negeri yang mencatatkan kenaikan lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+2.2%) bagi Mei 2018 berbanding bulan sama pada 2017.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 4.5% di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2.4% di Pulau Pinang manakala Johor dan Sarawak masing-masing 2.3%.

Selain itu, inflasi teras naik 1.5% pada Mei 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Inflasi teras, yang mana tidak termasuk bahan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga yang dikawal, mencatatkan perubahan dalam julat antara 1.5% hingga 2.2% bagi tempoh Januari hingga Mei 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” kata jabatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.