Exco: Terengganu rangka Dasar Pelancongan tak tekan pelancong bukan Islam

Exco: Terengganu rangka Dasar Pelancongan tak tekan pelancong bukan Islam

Exco Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, dasar itu bertujuan memberi ruang secukupnya kepada pelancong bukan Islam menikmati keindahan negeri itu tanpa rasa bimbang.

Free Malaysia Today
Mohd Nor Hamzah berharap golongan yang mahu melihat perubahan dalam sekelip mata, tidak menganggap kerajaan negeri mengabaikan peraturan dan keindahan adab. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sedang menyiapkan Dasar Pelancongan Negeri yang tidak drastik atau menekan pelancong bukan Islam supaya mereka mempunyai ruang secukupnya untuk melawat negeri itu tanpa rasa bimbang.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berharap golongan yang mahu melihat perubahan dalam sekelip mata, tidak menganggap kerajaan negeri mengabaikan peraturan dan keindahan adab.

“Dan golongan kedua yang mahu memburukkan kerajaan negeri supaya bertindak seperti kerajaan ala Taliban. Kerajaan negeri akan mendahului sikap toleransi dan dialog. Kerajaan akan bergerak dengan dakwah dan pembangunan insan akan diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Islam tidak pernah mengetepikan hak bukan Islam.

“Contohnya, Islam tidak pernah memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi pastinya mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian tidak senonoh di tempat awam.”

Terdahulu, Mohd Nor dipetik FMT sebagai berkata, kerajaan Terengganu tidak menghalang pelancong bukan Islam dari dalam atau luar negara “berbikini” di kawasan pulau dan pantai negeri itu.

Katanya, kerajaan menghormati hak orang bukan Islam “berbikini”, walaupun asas perjuangan parti itu ialah memartabatkan agenda Islam.

Adun Bukit Payong itu berkata, kerajaan negeri tidak akan bertindak terburu-buru dengan terus menolak peraturan sedia ada, tanpa penelitian terlebih dahulu.

“Setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada. Kita baru mentadbir negeri sebulan lebih, oleh itu kita tidak akan bertindak gopoh atau gelojoh.

“Kerajaan negeri Terengganu akan menyelesaikan masalah yang ada secara berperingkat, toleransi dan harmoni melalui dialog, perbincangan dan sudah tentu rujukan daripada Islam.”

Exco: Kerajaan PAS Terengganu tidak halang pelancong ‘berbikini’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.