
“Biar mereka (penjaja) mohon gerai secara terus. Dengan cara itu, mereka tidak perlu melalui orang ke-3 dan mereka boleh mendapat gerai secara terus,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
Fong yang juga ahli Parlimen 5 penggal menggesa polis menyiasat dakwaan jika ada “orang tengah” mengambil wang daripada penjaja.
Katanya, beliau akan membuat satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
Ahli Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim didakwa menyalahgunakan nama Fong untuk mendapatkan 80 lot gerai dengan bayaran RM6,238 daripada DBKL, sebelum menyewanya sehingga RM5,000 bagi setiap lot melalui orang tengah.
Veteran DAP itu mengakui pernah menulis surat sokongan kepada DBKL, selepas Noorhisyam meminta bantuannya pada 5 Jun lalu, dengan syarat sewa hanya boleh dikenakan DBKL.
Pada 15 Jun lalu, Fong dilaporkan berkata, beliau hanya mahu membantu penjaja yang tidak mempunyai lesen untuk mendirikan gerai dan menafikan menerima wang daripada penjaja terbabit.
Semalam, pemimpin Pemuda PPBM membuat laporan kepada SPRM atas dakwaan penyalahgunaan kuasa politik, manakala Noorhisyam pula membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan bagi membersihkan namanya.
Fong berkata, Noorhisyam sudah menemuinya dan menafikan beliau mengambil wang daripada penjaja.
“Beliau beritahu saya, beliau tidak mengambil sebarang wang daripada penjaja dan membenarkan mereka menjalankan perniagaan secara percuma tanpa perlu membayar RM6,238 untuk gerai itu.”
Fong berkata, beliau akan terus mengeluarkan surat sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuannya, walaupun suratnya untuk lot bazar Ramadan itu didakwa disalahgunakan.
“Saya mengeluarkan surat sokongan kepada ibu tunggal yang mahu memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ini tugas saya sebagai wakil rakyat. Siapa lagi yang mereka boleh cari kerana kita tidak mempunyai adun atau ahli majlis untuk melakukan kerja itu.”