Tak timbul soal sokongan, Amirudin juga calon kami, kata Wan Azizah

Tak timbul soal sokongan, Amirudin juga calon kami, kata Wan Azizah

Presiden PKR berkata pandangan Idris Ahmad, yang mendakwa dirinya mendapat sokongan semua parti komponen PH, hanyalah pandangan peribadi.

Free Malaysia Today
Amirudin mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah selepas dilantik menteri besar.
PUTRAJAYA:
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini ingin menamatkan sebarang pertikaian tentang pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor, mengatakan Adun Sungai Tua itu juga merupakan calon mereka.

Oleh itu, tidak timbul soal sama ada Amirudin hanya mendapat sokongan bekas menteri besar, Datuk Seri Azmin Ali, untuk jawatan itu, seperti yang ditimbulkan oleh seorang lagi calon PKR, Dr Idris Ahmad dari Ijok.

“Perkara itu tidak berbangkit kerana salah satu cadangan adalah Amirudin. Beliau pun telah angkat sumpah sebagai menteri besar, jadi kita perlu teruskan kerajaan negeri dengan barisan exco sedia ada,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, Dr Idris dalam sidang media hari ini mendakwa hanya beliau seorang sahaja yang mendapat sokongan daripada semua semua parti komponen PH untuk jawatan menteri besar.

Adun Ijok penggal kedua itu turut mengemukakan surat sokongan pemimpin-pemimpin di PPBM, DAP dan Amanah Selangor, serta surat sokongan oleh Dr Wan Azizah sendiri.

Dalam semua empat surat berkenaan yang ditandatangani awal bulan ini, nama Idris adalah calon tunggal yang dikemukakan oleh setiap parti.

Dr Wan Azizah bagaimanapun menepis perkara itu sebagai hanya pandangan peribadi Dr Idris.

“Itu pandangan peribadi. Lagi pun parti memang telah cadangkan beberapa nama termasuk Amirudin,” katanya.

Timbalan perdana menteri ditemui pemberita selepas pertemuan 1 jam dengan Amirudin.

Menteri besar baru itu memberitahu pemberita ini pertemuan itu membincangkan pelan untuk pembangunan Selangor.

Amirudin jadi MB Selangor dengan konsensus PH, kata Azmin

Amirudin serah PH jawab isu tak dapat ‘restu’ sebagai MB

Saya disokong PH tapi Amirudin pula jadi MB, kata adun Ijok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.