
“Saya rasa biar pimpinan PH memberi penjelasan terutamanya daripada PKR untuk soalan tersebut dan saya serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk membuat penjelasan,” katanya dalam sidang media pada majlis jamuan makan tengahari di Shah Alam, hari ini.
Adun Ijok Dr Idris Ahmad dalam sidang medianya hari ini mendakwa pelantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor yang baharu tidak mendapat sokongan PH.
Idris berkata beliau adalah satu-satunya calon yang dipersetujui semua parti. “Saya mempunyai sokongan dari semua parti tetapi Amirudin hanya mendapat sokongan daripada Datuk Seri Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata sepatutnya tidak ada pihak yang cuba bermain politik di bawah pentadbiran baharu.
Bagaimanapun beliau menghormati pandangan Idris dan ia bukti kerajaan Selangor terbuka dengan pelbagai pandangan dan kritikan.
“Masing-masing ada pandangan mereka sendiri, saya pasti kita dengan konsep pentadbiran yang akan mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kita boleh maju ke depan, sebab itu dalam kenyataan ini saya tegaskan sudah sampai masa untuk kita gembeleng tenaga bersama untuk majukan Selangor.
“Kita boleh, saya ada ramai pasukan. Saya akan pastikan pasukan ini (barisan exco) maju bersama mengembeleng tenaga bersama,” katanya.
Beliau yakin, barisan exco yang dilantik akan bersamanya untuk memajukan Selangor dan meneruskan apa yang dilakukan Azmin.
“Kita ada barisan exco penuh hari ini, saya percaya kita akan kerja dengan lebih baik sebagai satu pasukan.
“Ini bukan kemenangan individu, ini adalah kemenangan PH dan selepas ini kita tidak punyai banyak masa untuk bermain politik.
“Kita perlu bekerja keras untuk memastikan kita mampu laksanakan harapan daripada mandat besar dari rakyat dalam pilihan raya lepas,” katanya ketika ditanya kebimbangan berlaku pergolakkan politik susulan suara pimpinan yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya sebagai menteri besar.
Tiada rombakan tugas exco
Aminudin menambah beliau tidak akan membuat rombakan tugasan exco yang dilantik di bawah pimpinan Azmin.
“Saya perlu bincang dengan semua (exco) terlibat, baru sebulan mereka dapat tugas masing-masing, tak kan nak ubah lagi. Mereka dah mula serasi dengan tugas masing-masing kalau ada perubahan dalam skala minimum sahaja,” katanya sambil memaklumkan segala perancangan projek yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Azmin akan diteruskan.
“Buat masa ini saya tumpu kepada perancangan negeri yang sedia ada. Kita dah berjalan setengah tahun, kalau saya ubah mungkin mengganggu pelan yang dilaksanakan, cuma akan ada penambahbaikan sedikit,” katanya.
Aminudin turut mengakui berdepan tugas berat untuk mengekalkan pencapaian baik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
“Itu satu tanggungjaeab yang saya akan pikul, saya yakin kita boleh lakukan dan bantu negara, kalau Selangor gagal maknanya Malaysia akan terima malang.
“Jadi tanggungjawab kita bukan hanya di Selangor sahaja tetapi bantu Putrajaya dan Malaysia seperti dilaksana perdana menteri.”
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/19/azmin-tak-dapat-restu-ph-jadi-mb-kata-adun-ijok/