Senarai akhir calon pemilihan Umno tangguh lagi

Senarai akhir calon pemilihan Umno tangguh lagi

Ketua setiausaha di ibu pejabat Umno, Norazuwan Aziz berkata senarai akan dimuktamadkan selepas semua calon berdaftar disaring.

Free Malaysia Today
Norazuan ketika ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor calon.
KUALA LUMPUR:
Umno sekali lagi menangguhkan senarai calon muktamad mereka yang akan bertanding pada pemilihan Umno 30 Jun ini, sementara menunggu proses saringan kelayakan calon selesai dijalankan.

Ketua setiausaha di ibu pejabat Umno, Datuk Norazuwan Aziz berkata senarai itu akan dimuktamadkan selepas semua calon berdaftar disaring mengikut kelayakan yang digariskan dalam perlembagaan parti dan Jabatan Insolvensi.

Beliau menambah senarai muktamad calon yang layak bertanding bagi penggal 2018-2021 akan diumum Rabu ini.

“Contohnya untuk bertanding ahli majlis tertinggi perlu pernah menjadi ahli majlis tertinggi bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian selama sekurang-kurangnya sepenggal atau 3 tahun.

“Proses saringan masih belum selesai dan mengambil masa kerana melibatkan kira-kira 25,000 calon termasuk mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor calon bagi pemilihan Umno di Menara Datuk Onn hari ini.

Semalam Setiausaha Kerja Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata senarai akhir calon layak bertanding bagi semua jawatan yang dipertandingkan akan diumumkan hari ini oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Norazuwan berkata senarai penuh calon serta nombor pencalonan masing-masing dijangka dimuat naik di laman sesawang Umno dan menerusi siaran akhbar rasmi pada Rabu.

“Kita masukkan nama nama calon yang layak bertanding mengikut nombor calon dalam proses cabutan undi tadi. Mungkin ada calon yang digugurkan pencalonannya dan nombor yang diterima tadi secara automatik terbatal,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kelayakan Datuk Seri Jamal Md Yunos bertanding, Norazuwan berkata Ketua Umno Sungai Besar itu layak bertanding selagi tidak dibuktikan bersalah.

Sementara itu, pemimpin Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan naib presiden didapati hanya akan bertanding jawatan ahli majlis tertinggi.

Berikut adalah calon bagi jawatan pimpinan tertinggi dan ketua sayap Umno

Presiden

  • Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
  • Khairy Jamaluddin
  • Tengku Razaleigh Hamzah
  • Mohamed Iqbal Maricair
  • Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin
  • Rahmat Azim Abdul Aziz
  • Rosile Saat

Timbalan Presiden

  • Tan Sri Annuar Musa
  • Datuk Seri Mohamad Hasan
  • Mohamad Afnan Rizam Salem

Naib Presiden

  • Datuk Seri Ahmad Said
  • Datuk Seri Ismail Yaakob
  • Datuk Seri Johari Abdul Ghani
  • Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
  • Datuk Seri Mahdzir Khalid
  • Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
  • Shukri Roslan
  • Sheikh Razali Sheikh Ahmad

Ketua Wanita

  • Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman
  • Datuk Azizah Mohd Dun
  • Datuk Noraini Ahmad

Ketua Pemuda

  • Datuk Seri Jamal Md Yunos
  • Datuk Asyraf Wajdi Dusuki
  • Datuk Khairul Azwan Harun
  • Abdul Razak Yusof
  • Imran Azhar Armin
  • Wan Mohd Haslin Wan Hassan
  • Mohd Norizat Mohd Johari
  • Mohd Shahar Abdullah
  • Syed Rosli Syed Harman

Ketua Puteri

  • Datuk Zahida Zarik Khan
  • Nor Hazreena Mohamad Hashim

Umno mempunyai lebih 3 juta ahli, mempunyai 191 bahagian dengan jumlah cadangan sebanyak 21,851.

Khairy cabar Zahid, Ku Li rebut jawatan presiden Umno?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.