PDA 1974: Sarawak sedia pertahan hak sumber minyak, gas

PDA 1974: Sarawak sedia pertahan hak sumber minyak, gas

Menteri Muda Undang-undang negeri, Sharifah Hasidah berkata Sarawak bersedia pertahankan hak negeri di mahkamah.

Free Malaysia Today
Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Jun ini untuk mendengar permohonan Petronas memulakan prosiding terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah Artikel 128 (1) Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Youtube)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan mempertahankan hak ke atas sumber minyak dan gas aslinya termasuk menggunakan dokumen diperoleh dari London tahun lepas oleh pasukan mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau, yang mengetuai pasukan peguam itu, berjaya menemukan dokumen yang boleh dijadikan bahan bukti mengenai hak Sarawak.

“Semua salinan dokumen sahih dari London yang diperakui sah itu akan digunakan untuk bantu sebagai bukti apabila diperlukan di mahkamah nanti,” katanya di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan Sarawak menghadapi tindakan Petronas mahu mendapatkan deklarasi Mahkamah Persekutuan mengenai isu pemilikan sumber minyak termasuk di Sarawak di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Sharifah Hasidah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Samariang, berkata secara dasarnya Sarawak sudah bersedia untuk mempertahankan hak negeri di mahkamah nanti.

Beliau berkata Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid akan mengetuai pasukan Jabatan Peguam Negara (SAG) Negeri Sarawak berhubung permohonan Petronas itu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Jun ini untuk mendengar permohonan Petronas untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah Artikel 128 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.