Anwar: Saya maafkan ‘perkara remeh’ dibuat Najib atas semangat Raya

Anwar: Saya maafkan ‘perkara remeh’ dibuat Najib atas semangat Raya

Ketua umum PKR itu bagaimanapun berkata, proses pengadilan terbuka perlu diteruskan ke atas dakwaan penyelewengan dana oleh bekas perdana menteri itu.

Free Malaysia Today
Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di pejabat PKR Guar Perahu di Bukit Mertajam, malam ini.
BUKIT MERTAJAM:
Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memaafkan “perkara remeh” dibuat Datuk Seri Najib Razak atas semangat Hari Raya, tetapi bukan penyelewengan dana didakwa dilakukan bekas perdana menteri itu.

“Undang-undang perlu dilaksanakan. Jika ia adalah beberapa serangan peribadi, tidak apa, saya maafkannya.

“Jika wang dicuri, sudah tentu (seseorang itu) perlu menghormati proses pengadilan terbuka,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Permatang Pauh anjuran PKR, malam ini.

Terdahulu, ketua umum PKR itu dalam ucapannya berkata, beliau akan kekal sebagai “ejen bebas” dan “mengambil masa” untuk kembali ke arena politik.

Katanya, beliau akan menjelajah ke beberapa negara untuk menceritakan pengalaman dan keadaan di Malaysia.

“Kemudian, saya tunggu masa bila (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) merasakan cukup, dia dah boleh jalankan tugas dia dengan baik, maka dia nak serah, saya ambil alih jawatan perdana menteri.”

Mengenai pertemuannya dengan Al Gore di London baru-baru ini, Anwar berkata, bekas naib presiden Amerika Syarikat itu kagum dengan rakyat Malaysia bangkit “menumbangkan kerajaan ala diktator” melalui proses demokratik.

Katanya, beliau sedang menantikan pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.