Tengku Abdullah: Malaysia berpeluang jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

Tengku Abdullah: Malaysia berpeluang jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata terpulang kepada FAM dan kerajaan jika mahu membida sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2034 dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Free Malaysia Today
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, Asia Tenggara mempunyai peluang dan kekuatan untuk membida secara bersama seperti gandingan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang memenangi bidaan bagi edisi 2026. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah bersama jika bersepakat dengan 3 negara Asia Tenggara lain untuk melakukan bidaan bagi menganjurkan pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kerajaan untuk memutuskan jika mahu menyertai Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang sudah menyuarakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun itu.

“Asia Tenggara mempunyai peluang dan kekuatan untuk membida secara bersama seperti gandingan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah edisi 2026,” kata bekas presiden FAM itu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.

“Memang hakikatnya sudah sampai masa negara rantau Asia Tenggara diberi peluang dan masih mempunyai masa cukup mempertingkatkan infrastruktur dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing.”

Tengku Abdullah yang baru pulang dari menyertai Kongres FIFA di Moscow, semalam, yakin Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara tuan rumah berdasarkan kelengkapan infrastruktur sedia ada.

Mengenai peluang pasukan pakatan Asia Tenggara memperoleh slot istimewa selaku tuan rumah tanpa mengharapkan kuota Asia, Tengku Abdullah berkata, perkara itu akan dibincangkan selaras cadangan pertambahan pasukan yang menyertai Piala Dunia kepada 48 pasukan pada 2026.

Kali terakhir format Piala Dunia diubah adalah 1998 yang menyaksikan pasukan bertanding ditambah daripada 24 pasukan kepada 32 pasukan.

Sementara itu, majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat serta orang kenamaan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.