Isu bazar Ramadan: Wakil rakyat gesa penjaja tampil bantu siasatan

Isu bazar Ramadan: Wakil rakyat gesa penjaja tampil bantu siasatan

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun sedia membantu penjaja yang membayar wang kepada ahli Pemuda PPBM, Noorhisyam Abd Karim untuk mendapat lot bazar Ramadan di Jalan Masjid India.

Free Malaysia Today
Pembantu Fong Kui Lun, Sally Sian (tengah) berkata, ahli Parlimen Bukit Bintang itu akan membuat laporan kepada SPRM selepas pulang dari Hong Kong, Selasa ini.
KUALA LUMPUR:
Penjaja yang dilaporkan membayar sehingga RM5,000 untuk mendapatkan lot bazar Ramadan di Jalan Masjid India, digesa tampil membantu pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah membabitkan seorang ahli Pemuda PPBM, kata pembantu khas ahli Parlimen Bukit Bintang.

Fong Kui Lun masih berada di luar negara dan pembantu khasnya, Sally Sian bersama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengadakan sidang media hari ini untuk memberitahu mereka sedia membantu penjaja terbabit.

“Kami tidak tahu jika seluruh insiden itu betul atau tidak kerana kami hanya tahu mengenainya melalui laporan media.

“Jika ada di antara mereka yang membayar ‘orang tengah’ untuk mendapatkan lot itu, tolong datang jumpa kami kerana kami ingin tahu apa yang berlaku,” kata Sian.

Katanya, tiada penjaja yang menghubungi mereka sejak kontroversi bazar Ramadan itu timbul 2 hari lalu.

“Beliau (Fong) akan membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selepas pulang dari Hong Kong, Selasa ini.

“Kami juga akan menyediakan senarai nama penjaja kepada pihak berkuasa,” katanya merujuk SPRM.

Semalam, Fong berkata, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim yang didakwa menyalahgunakan namanya untuk mendapatkan 80 lot bazar Ramadan di Jalan Masjid India, sebelum menyewanya sehingga RM5,000 setiap lot.

Veteran DAP itu mengakui menulis surat sokongan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selepas Noorhisyam meminta bantuannya pada 5 Jun lalu, dengan syarat sewa hanya boleh dikenakan DBKL.

Fong berkata, beliau hanya mahu membantu penjaja yang tidak mempunyai lesen mendirikan gerai dan menafikan menerima wang daripada penjaja terbabit.

Noorhisyam pula dilapor menafikan mengambil wang daripada penjaja, sebaliknya beliau hanya mengutip RM6,238 untuk dibayar kepada DBKL.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain dilaporkan berkata, pada mulanya mereka menolak permohonan Noorhisyam, sebelum dipaksa meluluskannya selepas menerima surat sokongan Fong.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/isu-lot-bazaar-saya-hanya-cuba-bantu-penjaja-kata-wakil-rakyat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/dbkl-salahkan-ahli-parlimen-atas-isu-lot-bazaar-ramadan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/lot-bazaar-ramadan-fong-mungkin-saman-saddiq-gesa-siasatan/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.