‘Tubuh jawatankuasa teliti 3 pengarah tabung sumber manusia letak jawatan’

‘Tubuh jawatankuasa teliti 3 pengarah tabung sumber manusia letak jawatan’

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran akan menemui ahli jawatankuasa itu bagi memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan secara sukarela 3 pengarah itu atau sebaliknya.

Free Malaysia Today
M Kulasegaran berkata, jawatankuasa yang bakal dibentuk minggu depan akan memutuskan kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif HRDF, CM Vignaesvaran Jeyandran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah jawatankuasa akan dibentuk minggu depan bagi meneliti peletakan jawatan 3 pengarah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), susulan dakwaan RM300 juta milik tabung itu disalahgunakan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa itu bagi memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan secara sukarela 3 pengarah itu atau sebaliknya.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dan juga membentuk sebuah jawatankuasa seperti dijanjikan semasa sesi town hall untuk meneliti perkara itu. Kita akan umum hasilnya akhir minggu depan,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Persatuan Media Tamil Malaysia (MTMA) di dewan Gereja St Joseph, hari ini.

Pada sidang media sebelum ini, Kulasegaran mendedahkan 3 orang yang melepaskan jawatan itu adalah pengarah dan mereka yang terlibat dalam projek latihan.

HRDF ialah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menguruskan dana latihan bagi pembangunan sumber manusia.

Mengenai kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif HRDF, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran, katanya, ia akan diputuskan jawatankuasa sama yang bakal dibentuk itu, dan akan diumumkan hujung minggu depan.

“Saya tidak mahu buat penilaian awal terhadap isu ini,” katanya mengulas dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM300 juta itu.

Sementara itu, pada majlis sehari itu, lebih 600 ahli keluarga dan persatuan itu menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan. Turut hadir Pengerusi MTMA, SV Muthamil Mannan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.