
Pakatan ekonomi itu mencadangkan satu zon perdagangan bebas serantau merangkumi negara-negara Asean, China, Jepun dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, pakatan ekonomi itu tidak berhasil. EAEC hampir mustahil untuk berjaya kerana batas-batasnya tidak dinyatakan secara jelas.
Satu lagi masalahnya ialah perbezaan ekonomi, politik dan serantau antara negara-negara Asia Timur.
Selepas 21 tahun, idea EAEC sekali lagi ditimbulkan apabila Dr Mahathir kembali sebagai perdana menteri susulan pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Beliau menimbulkan idea penubuhan EAEC di persidangan Nikkei di Tokyo, lebih 2 dekad selepas zon perdagangan bebas serantau itu diketengahkan pada 1997.
Dr Mahathir masih menyokong idea zon perdagangan bebas itu, yang dia cadangkan supaya merangkumi negara-negara lain seperti India dan negara-negara di Asia Tengah.
Pada 1997, Dr Mahathir mencadangkan idea itu tetapi ia mengundang reaksi negatif dari negara-negara Asia Timur, terutama Jepun, yang khuatir dengan ucapan-ucapan anti-Barat oleh Dr Mahathir, yang dibuat tanpa berunding dengan rakan-rakan sejawat di negara-negara lain.
Jepun rasa terancam kerana cara dia memperkenalkan idea EAEC dilihat tidak berkesan, kerana ia juga ditolak oleh rakan-rakannya dalam Asean.
Jepun tidak dapat mengikut idea itu pada awal 1990-an kerana ketika itu ia sedang menukar semula arahnya selepas kejatuhan Blok Timur dan berakhirnya Perang Dingin.
Dr Mahathir sebenarnya mahu EAEC diketuai Jepun kerana ia anggota G7 dan dia menyedari kebolehan Jepun memimpin negara-negara Asia Timur lain.
G7 ialah kumpulan yang dianggotai negara-negara ekonomi termaju di dunia.
Selain itu, masalah EAEC juga adalah ia ditentang Amerika Syarikat yang merasakan pakatan itu ancaman kepada pengaruh AS di rantau ini.
AS mendesak Jepun untuk tidak menyertai pakatan itu kerana merasakan EAEC boleh mengancam pengaruhnya.
Jepun mengikut permintaan AS kerana negara itu merupakan rakan niaga terbesarnya dan mempunyai pengaruh yang besar ke atas ekonomi Jepun.
Dr Mahathir dilihat sebagai seorang yang sangat kritikal dengan dasar-dasar AS dan Barat dan dia juga membantah cadangan Jepun untuk mengundang New Zealand dan Australia menyertai EAEC.
Seorang pakar ekonomi, Hoo Ke Ping dalam temubual sebelum ini berkata seruan Dr Mahathir untuk menghidupkan semula idea EAEC mungkin akan mencetuskan reaksi AS.
Beliau berkata Washington mungkin akan melihat Malaysia bermusuhan dengannya, kata Hoo, penulis beberapa buku tentang ekonomi antarabangsa.
Hoo menyokong hujah Dr Mahathir yang mengatakan AS sekarang sudah menjadi pengamal dasar perlindungan ekonomi maka ia tidak berhak menentang EAEC.
Hoo bagaimanapun berkata tindakan-tindakan keras dari Washington mungkin termasuk sekatan ke atas pengimportan produk Malaysia.
“Jika kita hidupkan semula EAEC, kita mungkin dilihat anti-Amerika kerana ia akan dilihat sebagai satu blok dasar perlindungan ekonomi yang mengetepikan AS.
“Walaupun China mungkin suka melihat EAEC dihidupkan semula, kita mesti ingat AS masih destinasi terbesar produk-produk elektronik kita, sama ada secara langsung atau tidak,” katanya.
Matlamat EAEC ialah meningkatkan kerjasama ekonomi, menggalak dan melindungi perdagangan bebas, memacu pertumbuhan ekonomi, mengalakkan rantau terbuka dan menyumbang kepada sistem perdagangan pelbagai hala.
Dr Mahathir bertegas mahu membuang pengaruh AS dan Australia dari rangka kerja serantau melalui EAEC dengan menggantikan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).