
Musim ke-4 siri drama dokumentari “Our Girl” yang diterbitkan oleh BBC dan disiarkan di BBC One dikhabarkan dirakam di Malaysia.
Walaupun penggambarannya diatur untuk latar Nigeria, Belize dan Bangladesh, tetapi ia dirakam di Afrika Selatan dan Malaysia.
Bagi siri ke-4 drama “Our Girl”, pasukan tentera sepatutnya berada dalam misi khas ke sempadan Guatemala/Belize di mana mereka sesat di dalam hutan tebal.
Bagaimanapun, kebanyakan penggambaran bagi adegan tersebut bukan dirakam di sempadan Guatemala/Belize sebaliknya krew filem itu berkhemah di hutan Taman Negara yang merupakan salah satu hutan hujan tertua di dunia.
Bandar terdekat dengan kawasan tersebut ialah Kuala Tembeling dan hutan itu dikatakan hanya boleh diakses menggunakan bot.
Menurut laporan The Sun, para pelakon khususnya pelakon utama, Michelle Keegan yang memainkan watak Prebet Georgie Lane akui menghadapi kesukaran untuk mengadaptasi dengan cuaca panas selain terpaksa menyarungkan stokin lintah sepanjang masa.
Suhu di sekitar kawasan taman negara itu adalah sekitar 26°C hingga 35°C pada waktu siang dan 24°C hingga 29°C pada waktu malam.
Dalam satu temuramah dengan Radio Times, Michelle berkata, “Anda terus berpeluh tanpa henti kerana cuaca di sini yang panas dan lembap sepanjang masa. Bagaimanapun saya dapat menerimanya dengan baik.
“Saya sering menghantar foto kepada ibu dengan wajah letih dan peluh menitis di hujung hidung. Ibu saya terkejut bagaimana saya mengadaptasi diri dengan semua ini. Bagi saya, ia sudah menjadi kebiasaan dan saya baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam siri “Our Girl”, watak Georgie juga akan dihantar ke Bangladesh untuk membantu pelarian Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.
Episod ini juga dikatakan dirakam di Malaysia menggunakan lokasi pelarian yang sebenar.
Penerbit siri tersebut, John Griffin berkata, “Dari sudut pandangan produksi, persekitaran Malaysia sangat sesuai dengan persekitaran Bangladesh.
“Populasi terbesar di negara ini adalah dari India yang mana memudahkan kami mencari pelakon tambahan tempatan dengan mudah dan sesuai dengan keperluan skrip.
“Di sini juga kami menemui kawasan dikenali Little India yang penuh dengan keceriaan kehidupan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang turut digunakan untuk beberapa babak rakaman.”