
Henry Gudid turut mempersoalkan keperluan usul undi menyokong presiden Parti Warisan Sabah itu.
“Shafie perlu tunjukkan Musa Aman tidak mendapat sokongan majoriti. Tetapi undi percaya kepadanya tidak bermakna undi tidak percaya terhadap Musa.
“Sebaliknya, sidang khas pada Isnin hanya membuktian Musa ketua menteri Sabah yang sah sebelum sidang itu. Jika tidak, mengapa perlu anda adakan undi percaya untuk Shafie untuk menyingkirkan Musa?”
Gudid dalam kenyataan hari ini berkata antara mereka yang membuat undi itu terpilih atas tiket BN, maka tidak boleh dinafikan mereka juga akan menyokong Musa jika ada usul yang sama, sekiranya pengundian dibuat melalui peti.
Musa mengangkat sumpah bersama para menterinya pada malam 10 Mei selepas mendpat sokongan 29 Adun yang terpilih dengan sempurna seperti yang diisytiharkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini termasuk 2 Adun dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang bersetuju membentuk kerajaan campuran.
“Selepas Musa ditetapkan sebagai ketua menteri yang sah, ini bermakna angkah sumpah Shafie pada 12 Mei dan jemaah menterinya pada 16 Mei menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah,”kata Gudid.
“Ini bermakna semua tindakan dan langkah yang dibuat Shafie selepas mengangkat sumpah adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah. Ini termasuk pelantikan Kabinet, pelantikan ahli-ahli DUN, serta semua keputusan olehnya, Kabinetnya dan semua tindakan setiausaha kerajaan negeri dan pentadbirannya menurut keputusan itu.
“Inilah akibatnya jika Musa berjaya dalam tuntutannya di mahkamah.”
Satu lagi isu yang menjadi pertikaian ialah kesahan sidang khas itu, katanya.
“Melihat notis memanggil sidang itu, ternyata ia notis 6 hari tanpa dinyatakan sebarang kecemasan, yang nampaknya tidak mematuhi notis mandatori 21 hari seperti yang ditetapkan oleh peraturan mesyuarat mengenai notis yang sah.
“Ini satu lagi perkara yang boleh membantu kes Musa,” katanya.