Rahman Dahlan tak tolak parti Sabah mungkin ikut langkah Sarawak

Rahman Dahlan tak tolak parti Sabah mungkin ikut langkah Sarawak

Bekas menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan PPB, SUPP, PRS dan PDP keluar BN dan menubuhkan gabungan sendiri bukan perkara mengejutkan.

Free Malaysia Today
Rahman berkata penyusunan semula kerjasama parti politik ini berikutan perubahan senario politik negara. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Bekas menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak menolak kemungkinan parti-parti tempatan di Sabah akan mengikut langkah parti tempatan Sarawak keluar Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan gabungan tersendiri.

Abdul rahman berkata keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) bukan perkara mengejutkan, selepas kekalahan teruk BN pada pilihan raya 9 Mei lepas.

“Memang dijangka akan berlaku senario begini kerana ingin memikirkan tentang bagaimana hendak membentuk suatu landskap politik baru.

“Itu tidak boleh dinafikan kerana sebelum ini wujud uar-uar dan cerita dengan asas memperjuangkan hak negeri masing-masing,” katanya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan PBB, yang menjadi tunjang kepada BN di Sarawak, bersama 3 parti lain keluar dari gabungan itu dan membentuk pakatan baru, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Gabungan ini akan bekerjasama dengan Putrajaya “demi kepentingan negara dan hak negeri” berasaskan Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan prinsip persekutuan.

“Kami akan melindungi kepentingan semua rakyat Sarawak tanpa mengira saiz sesuatu komuniti dalam cara yang inklusif,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Rahman berkata penyusunan semula kerjasama parti politik ini berikutan perubahan senario politik negara. Pada PRU lepas, Barisan Nasional yang memerintah sejak penubuhan Malaysia ada 1963 tewas, menyaksikan gabungan itu hanya membentuk kerajaan di Perlis, Pahang dan Sarawak.

“Senario politik sudah berubah, landskap politik dan gabungan parti-parti ini semua akan berubah, jadi sekarang ini Sarawak sudah buat keputusan berdasarkan parti tempatan. Kalau Sabah berfikiran sama, mungkin ada lagi pakatan Pan Borneo, dimana Sabah dan Sarawak pula berpakat,” katanya.

Abdul Rahman berkata akar umbi Umno tidak perlu bimbang dengan perkembangan semasa kerana parti itu masih parti terkuat di Parlimen dengan 54 kerusi.

“Umno ada kekuatan sendiri, kekuatan Umno adalah pada 54 kerusi dalam BN dan masih lagi yang terbesar. Juga di Sabah, saya beranggapan masih ramai berminat berjuang di bawah Umno,” katanya.

“Umno juga perlu bertahan sebagai sebuah parti dan eloklah kalau perlu menjaga parti dulu tanpa memerlukan fikir perkara lain, bertahan dulu,” tambahnya.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin berkata, tidak dinafikan keputusan 4 parti di Sarawak itu akan memberi kesan kepada kebangkitan BN.

“Kita maklum keadaan Umno ketika ini dan memang kita lihat tidak banyak mahu dengan kita,” katanya,.

“Maknanya Umno perlu wujudkan satu kekuatan baru sebab apabila kita kuat kita akan dihormati, bila kita lemah akan ditinggalkan,” katanya.

PBB dan 3 parti di Sarawak keluar BN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.