Menteri pertikai kontrak solar RM1 bilion kepada syarikat sewa kereta

Menteri pertikai kontrak solar RM1 bilion kepada syarikat sewa kereta

Menteri pendidikan itu berkata, kontrak bernilai lebih RM1 bilion itu tidak ditawarkan melalui tender terbuka.

Free Malaysia Today
Maszlee Malik berkata, SPRM sedang menyiasat projek hibrid solar di sekolah Sarawak itu. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengesahkan syarikat sewa kereta, Jepak Holding Sdn Bhd, diberikan projek hibrid solar di sekolah Sarawak yang bernilai lebih RM1 bilion.

Ia susulan dakwaan wujud urus niaga diragui membabitkan syarikat yang diberikan kontrak oleh Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan terdahulu.

“Peruntukan untuk kontrak set penjana sebelum 2017 diberikan kepada beberapa kontraktor untuk memenuhi bekalan elektrik bagi 369 sekolah di Sarawak.

“Bagaimanapun, setakat Januari 2017, kontrak itu hanya diberikan kepada Jepak Holding. Persoalannya ialah apabila membabitkan jumlah besar, kenapa kontrak itu tidak ditawarkan melalui tender terbuka?”

Beliau turut mempersoalkan kenapa Jepak Holding dilihat memonopoli kontrak itu sepenuhnya.

“Kemajuan projek hibrid solar itu jauh ketinggalan apabila ia sepatutnya mencecah 51% setakat ini.

“Kami berharap tiada sekolah yang bekalan elektriknya terjejas, sementara kita berusaha mencari penyelesaian untuk percanggahan yang kita temui.”

Maszlee berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kontrak itu dan beliau enggan mendedahkan lebih banyak butiran.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan melantik terus sebuah syarikat untuk melaksanakan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini didedahkan dalam dokumen dilihat beberapa portal berita yang menunjukkan tender itu tidak melalui prosedur operasi standard dan proses pemerolehan Kementerian Pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.