
Tahun lepas, kerajaan membelanjakan kira-kira RM37 bilion dalam bentuk subsidi, pelbagai bantuan dan pemberian tunai dikenali sebagai BR1M, kata Daim, 80, yang mengetuai kumpulan kecil penasihat utama Dr Mahathir dikenali sebagai Majlis Penasihat Kerajaan.
Wang itu boleh disalurkan kepada dana yang kemudiannya melabur dalam aset dan perolehannya diagihkan sebagai pendapatan asas setiap bulan, bukannya setakat bayaran sekali gus, katanya.
“Setiap tahun ia dibazirkan,sedangkan cara ini ia berterusan,” katanya dalam satu temu bual semalam.
“Jika kita laburkan dengan baik, saya fikir ada cukup pendapatan untuk penuhi keperluan semua orang ini.”
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhadapan kritikan pemimpin pembangkang pada waktu itu yang mendakwa janjinya untuk menambah jumlah bayaran BR1M adalah cara beliau mendapatkan sokongan politik.
Kerajaan baru di bawah Mahathir berkata ia akan menggantikan program itu, yang memberi bayaran tunai tahunan kepada pemohon yang layak, dengan program bantuan kos hidup.
Lebih 7 juta orang diluluskan untuk menerima BR1M tahun ini, menambah perbelanjaan kerajaan sebanyak RM6.12 bilion, menurut kementerian kewangan.
Negara berpendapatan tinggi
Pakatan politik pimpinan Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum bulan lepas, dan menamatkan penguasaan kerajaan Barisan Nasional selama 6 dekad.
Najib berhadapan kemarahan rakyat berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang melonjakkan harga barang, selain dakwaan salah laku dalam skandal pengubahan wang berjumlah berbilion ringgit melibatkan syarikat dana kerajaan, 1MDB.
Mahathir, dalam ucapannya kepada rakyat Malaysia di Tokyo selama berkata, sesetengah pemberian, termasuk bonus tunai dan penajaan ibadat haji mungkin dibatalkan seiring dengan langkah kerajaan memulihkan sistem bantuan awamnya bagi memastikan ia benar-benar diterima golongan memerlukan.
“Tentulah kita tidak akan namakannya BR1M. Kita akan gunakan nama lain kerana tidak mahu mewarisi kebiasaan buruk mereka,” katanya, merujuk kepada kerajaan lama.
Majlis penasihat diketuai Daim memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan mapan, bukan mengejar matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi, menurut bekas menteri kewangan itu.
“Tidak ada gunanya bercakap tentang pendapatan tinggi sedangkan 7 juta rakyat bergantung kepada BR1M,” kata beliau.
“Kita mahu status negara maju yang memungkinkan semua orang memanjat tangga sosial dan ekonomi. Ini menghendaki kita memperkenalkan polisi menggalakkan perniagaan, dan pada waktu sama menjamin kebajikan rakyat.”