Bekas aktivis pelajar sambut baik kebebasan anjur program ilmiah

Bekas aktivis pelajar sambut baik kebebasan anjur program ilmiah

Anis berharap lebih banyak program ilmiah seperti debat atau wacana dianjurkan mahasiswa di universiti selepas ini.

Free Malaysia Today
Anis berkata sebelum ini karenah birokrasi agak ketara dihadapi pelajar kerana ia dikawal oleh pihak universiti. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Bekas aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang memberi kebebasan kepada universiti awam menganjurkan program ilmiah seperti debat, forum dan wacana intelektual seperti diamalkan universiti terkenal dunia.

Maszlee dilaporkan berkata arahan berhubung isu itu berkuat kuasa serta-merta dan meminta pentadbir semua institusi pengajian tinggi mematuhinya.

Anis yang sebelum ini pernah berdepan tindakan kerana menganjurkan program anti-kerajaan menyambut baik hak kebebasan mahasiswa untuk menganjurkan program ilmiah di universiti awam tempatan.

Beliau berkata sebelum ini karenah birokrasi agak ketara dihadapi pelajar kerana ia dikawal oleh pihak universiti.

“Kita harap bukan karenah birokasi itu sahaja ditiadakan tetapi juga dari segi kawalan ke atas tajuk atau ahli panel yang dijemput,” katanya.

“Kalau sebelum ini, bagi satu-satu program yang hendak dianjurkan, bukan sahaja tajuk, malah ahli panel yang dijemput juga ditapis oleh pihak pentadbiran,” katanya kepada FMT.

Dalam pengumumannya semalam, Maszlee menggesa naib canselor dan timbalan naib canselor universiti tempatan mematuhi arahan kementerian dan memastikan tidak adanya halangan terhadap program sedemikian selepas ini.

“Perkara sedemikian mestilah diseragamkan di semua universiti, dan kementerian akan memantau pematuhannya,” kata beliau kepada media.

Maszlee yang berkata beliau sendiri pernah dihalang daripada menyertai program sedemikian sebelum ini, menambah keputusan kementerian itu bertujuan menggalakkan pelajar yang mahu melihat universiti lebih bebas, terutamanya dalam kegiatan perkongsian ilmu.

Anis berkata mahasiswa sudah tentu akan meyambut baik keputusan kementerian itu dan berharap ia akan menambah kerancakan aktiviti perkongsian idea dan pengetahuan dalam kalangan pelajar di universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.