Pengguna: Jadikan penjagaan kesihatan, ubatan mampu milik

Pengguna: Jadikan penjagaan kesihatan, ubatan mampu milik

Fomca dan CAP memuji sektor penjagaan kesihatan awam tetapi mengadu kos penjagaan kesihatan yang mahal di hospital swasta.

Free Malaysia Today
Paul Selvaraj berkata penjagaan kesihatan awam dan swasta haruskan mampu dimiliki semua rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua kumpulan pengguna menggesa kerajaan mengambil langkah yang boleh mengurangkan kos penjagaan kesihatan demi manfaat pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata kedua-dua penjagaan kesihatan awam dan swasta mestilah mampu dimiliki oleh semua rakyat.

Beliau berkata kerajaan seharusnya lebih banyak melabur dalam sektor penjagaan kesihatan awam bagi memastikan rakyat mampu memperoleh ubat-ubatan yang mereka perlukan.

“Dalam kes penjagaan kesihatan swasta, harganya perlu dikawal kerana ia mahal.

“Harga tidak boleh dibiarkan sepenuhnya kepada ketentuan pasaran kerana kita perlu melihat kepada komponen kebajikan,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham sebelum membuat pembentangan kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Sementara itu, pengarah penyelidikan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Martin Khor menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada rawatan kanser, penyakit jantung dan hepatitis yang kini sangat mahal.

“Kami ada cadangan, dan kami boleh menunjukkan bagaimana untuk mengurangkan harga ubat-ubatan tertentu,” katanya.

Khor memuji Kementerian Kesihatan yang menurunkan harga ubat hepatitis dari RM300,000 kepada RM1,000.

“Ini pengurangan harga sebanyak 99%. Terdapat 500,000 rakyat menderita hepatitis. Jika anda menjadikan ubat ini mudah dimiliki oleh mereka, kira-kira 99% boleh sembuh. Jika ia berharga RM300,000, tiada siapa pun yang boleh membelinya,” katanya.

Beliau berkata hospital awam umumnya menyediakan perkhidmatan dan pakar yang baik serta kosnya boleh tahan, harga di hospital swasta bagaimanapun tinggi.

Beliau berkata usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan kos ubat, terutama untuk rawatan kanser.

“Ramai yang menghidap kanser tidak mampu mendapatkan rawatan dan membeli ubat kerana harga yang tinggi,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.