
Katanya, sejak 3 tahun lalu pihak industri Jepun teragak-agak membuat pelaburan ekoran situasi politik dan ekonomi Malaysia.
“Laporan media beberapa tahun lalu tidak memberikan kami prospek baik untuk masa depan Malaysia, khususnya berkaitan kerjasama strategik, dasar perindustrian dan strategi ekonomi.
“Dengan kembalinya Dr Mahathir, saya yakin pihak industri kami amat gembira dan positif untuk terlibat dengan industri di Malaysia,” katanya di ibu pejabat Bernama semalam.
Jepun adalah penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar Malaysia. Tahun lepas, stok FDI ke Malaysia kira-kira AS$13 bilion.
Miyagawa berkata, dasar baharu yang diumumkan kerajaan Malaysia mencerminkan negara bersedia menjaga “rumahnya lebih teratur” dengan melangsaikan hutangnya dan Jepun turut berminat bekerjasama dengan pentadbiran baharu itu.
Katanya, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tidak sabar menemui Dr Mahathir semasa lawatannya ke Tokyo sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24, dari 11 hingga 12 Jun ini.
Kedua-dua pihak kini merancang persiapan memandangkan ini adalah lawatan pertama Dr Mahathir sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7, bulan lepas.
Semasa menjadi perdana menteri ke-4 dari 1981 hingga 2003, Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang mewujudkan tanda aras bagi hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Mengulas hasrat Dr Mahathir menghidupkan semula dasar itu, Miyagawa berkata, Abe dan kerajaan Jepun berharap ia dapat memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan.
“Jepun juga berhasrat menilai keberkesanan serta makna dasar itu, selain bersedia memperluaskannya,” katanya sambil menambah dengan situasi semasa yang positif, Jepun berharap kerjasama itu akan membantu meningkatkan sektor pekerjaan dan tahap teknologi Malaysia.
Mengenai keputusan pentadbiran Dr Mahathir membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), di mana Jepun antara yang menyuarakan minat dalam projek itu, Miyagawa berkata, beliau memahaminya dan menghormati keputusan tersebut.
Tambahnya, Jepun akan menunggu dan bersedia sekiranya pada masa depan Malaysia menimbang semula projek itu.
“Dengan hutang terkumpul begitu besar, saya fikir keutamaan Malaysia adalah untuk memastikan negara berada pada landasan betul dan apabila sudah bersedia, kami akan lebih gembira untuk terlibat dengan Malaysia sekali lagi.”
Bila tiba masanya nanti, Miyagawa memberi jaminan Jepun akan tampil dengan cadangan yang akan mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk pembangunan sumber manusia, pemindahan teknologi selain penglibatan bermanfaat dengan pihak industri di Malaysia dan Singapura.