2 kanak-kanak, 5 remaja didakwa merompak

2 kanak-kanak, 5 remaja didakwa merompak

7 tertuduh berumur 12 hingga 19 tahun mengaku tidak bersalah merompak sehingga mencederakan lelaki Pakistan di jejantas LRT Sungai Besi.

Free Malaysia Today
Ketujuh-tujuh suspek diperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Lima remaja dan 2 budak lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merompak sehingga mencederakan seorang lelaki Pakistan, bulan lepas.

Mohamad Zulkifar Zulkefli, 19, Mohamad Zulkarnain Rosli, 18, dan 5 lagi di bawah umur iaitu 2 budak lelaki berusia 12 tahun, seorang berumur 13 tahun dan 2 lagi berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pekerja kontrak warga Pakistan, Muhammad Abrar, 31.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jejantas LRT Sungai Besi, pada 11 malam, 21 Mei lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua remaja dan budak lelaki lelaki itu.

Peguam K Komagan yang mewakili Mohamad Zulkarnain dan 5 juvana lain memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah mengambil kira faktor kewangan keluarga semua mereka yang sederhana.

“Semua mereka berjanji akan hadir pada setiap prosiding mahkamah dan pihak kami juga tiada bantahan sekiranya mahkamah ingin memberikan syarat tambahan,” katanya.

Mohamad Zulkifar yang tidak diwakili peguam turut merayu diberikan jaminan.

Mahkamah membenarkan 4 juvana dan Mohamad Zulkarnain diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan seminggu sekali selain dilarang menganggu saksi pihak pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, Mohamad Zulkifar dan seorang juvana berusia 15 tahun tidak dibenarkan diikat jamin kerana tiada anggota keluarga mereka yang hadir sebagai penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.