Umno: Jangan paksa tolak 10% bonus raya untuk Tabung Harapan

Umno: Jangan paksa tolak 10% bonus raya untuk Tabung Harapan

Umno Selangor berkata sumbangan sepatutnya atas dasar sukarela.

 

PETALING JAYA:
Umno Selangor berkata bonus raya pegawai awam gred 44 dan ke atas, tidak patut dipotong untuk Tabung Harapan Malaysia, kerana penyumbang sepatutnya menyumbang rezeki mereka secara sukarela.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata kerajaan Selangor tidak ada sebab memaksa mereka menyumbang.

“Kalau mereka betul-betul ikhlas, terpulang kepada sesiapa juga yang ingin masukkan, dia masukkanlah. Kalau dia tak nak, tak boleh paksa. Mana boleh paksa orang,” katanya.

Lagipun, kerajaan sebenarnya tiada keperluan mendesak untuk mengadakan tabung itu, tambahnya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan 10% daripada bantuan khas kewangan Aidilfitri untuk penjawat gred 44 negeri dan ke atas akan dipotong dan disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata penjawat awam “terdorong” untuk menyumbang 10% kepada tabung yang ditubuhkan untuk membantu negara menangani masalah hutang dan liabiliti RM1 trilion.

Azmin berkata demikian ketika mengumumkan bonus sebanyak sebulan gaji kepada 17,109 penjawat awam negeri yang akan disalurkan pada 25 Jun ini.

Pengawai Komunikasi Strategik Menteri Besar, Yin Shao Loong, mengesahkan kerajaan akan memotong 10% daripada bonus raya pegawai awam terbabit.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan dana khas Tabung Harapan Malaysia bagi membolehkan rakyat menyumbang. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata nilai hutang dan liabiliti negara mencecah RM1 trilion dan memerlukan langkah pemulihan dan penyelesaian menyeluruh.

Pegawai awam Selangor terima bonus raya, tolak 10%

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.