Pernahkah anda periksa jika dihidapi diabetes?

Pernahkah anda periksa jika dihidapi diabetes?

Gejala diabetes termasuk kerap membuang air kencing yang banyak, sentiasa merasa dahaga, turun berat badan tanpa sebab yang jelas, dan sentiasa berasa letih dan kurang tenaga.

Kebanyakan kita tahu diabetes disebabkan oleh kadar gula yang tinggi dalam darah. Tetapi adakah kita tahu ia adalah penyakit sepanjang hayat dan biasanya penyakit ini tidak dapat disembuhkan?

Lebih penting lagi, adakah kita tahu sama ada kita menghidapi diabetes? Ahmad tidak mengetahuinya, sehinggalah beliau terkena serangan jantung dan Rama hanya tahu yang beliau menghidap diabetes apabila beliau didiagnos mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis.

Tahap glukosa (gula) dalam darah yang sentiasa tinggi (hiperglikemia) disebabkan diabetes, dalam satu jangka masa, akan menyebabkan kerosakan kepada banyak organ dalam badan kita, yang membawa kepada komplikasi yang serius.

Serangan jantung dan kegagalan buah pinggang bukanlah hanya satu komplikasi penyakit diabetes yang ditakuti, malah terdapat banyak lagi komplikasi lain. Ini termasuklah penyakit jantung, kegagalan jantung dan degupan jantung yang tidak teratur; serangan iskemia sementara (TIA) dan strok; kabur penglihatan dan buta; retensi air kencing dan inkontinens.

Komplikasi lain termasuklah rasa loya, muntah, cirit-birit dan sembelit; klaudikasi (sakit betis semasa berjalan) dan amputasi; kebas, sakit, ulser dan gangren kaki; lemah nafsu seks dan disfungsi erektil (ED) bagi kaum lelaki.

Tahap glukosa dalam darah yang berlebihan, terutama pada mereka yang menghidap diabetes jenis 1, boleh mengakibatkan kesedaran terubah, koma, bahkan mungkin membawa maut.

Simptom

Terdapat 3 jenis utama diabetes: jenis 1, jenis 2 dan diabetes semasa mengandung (diabetes gestasi). Setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri namun kesemuanya disebabkan sama ada tidak mencukupi (atau tidak langsung) insulin (satu hormon dihasilkan oleh pankreas yang membantu membawa glukosa masuk ke sel-sel badan) dan/atau ketidakupayaan tubuh menggunakan insulin secara berkesan, suatu keadaan yang dikenali sebagai ‘rintangan insulin’.

Orang yang berisiko menghidap diabetes (semakin banyak risiko yang anda miliki, semakin tinggilah kemungkinan anda menghidap diabetes) adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes; berat badan berlebihan atau obes (indeks jisim tubuh 23 atau lebih atau 25 atau lebih, masing-masing); mempunyai lebihan lemak di sekitar perut (iaitu mempunyai lilitan pinggang 90 cm atau lebih bagi lelaki atau 80 cm atau lebih bagi wanita); tidak aktif secara fizikal semasa kerja dan jarang bersenam; dan mempunyai tekanan darah tinggi (melebihi 140/90 mmHg).

Juga berisiko adalah mereka yang mempunyai paras lemak darah yang tidak normal (contohnya, LDL- kolesterol (tidak baik) tinggi, HDL- kolesterol (baik) rendah); menghidap diabetes semasa mengandung; melahirkan bayi yang berat (lebih 4.0 kg) semasa mengandung sebelumnya; tidak cukup tidur yang nyenyak pada waktu malam; dan berumur lebih 30 tahun.

Gejala diabetes termasuk kerap membuang air kencing yang banyak, sentiasa merasa dahaga, turun berat badan tanpa sebab yang jelas, dan sentiasa berasa letih dan kurang tenaga.

Gejala lain (disebabkan tahap glukosa darah tinggi) pula gatal-gatal kulit (terutamanya di bahagian kemaluan), kerap terkena jangkitan, rasa mencucuk-cucuk di tangan dan/atau kaki dan luka yang lambat sembuh.

Segera jalani ujian

Mereka yang mempunyai simptom-simptom di atas mestilah membuat pemeriksaan glukosa darah segera bagi memastikan ini bukanlah disebabkan diabetes. Lebih awal diabetes dikesan, lebih awal rawatan berkesan dapat diberi bagi mengelakkan kerosakan pada badan.

Bagaimanapun, simptom itu adalah lebih berkemungkinan berlaku pada orang yang menghidap diabetes jenis 1 atau mereka yang mempunyai tahap glukosa darah yang tinggi, manakala ramai yang menghidap diabetes jenis 2 (iaitu jenis diabetes yang biasa berlaku) mungkin tidak mempunyai apa apa (atau mempunyai hanya sedikit) simptom.

Mereka akan hanya menyedari menghidap diabetes hanya apabila komplikasi berlaku seperti dalam kes Ahmad dan Rama. Oleh itu, adalah penting bagi setiap orang (dewasa) terutama bagi mereka yang berisiko segera melakukan ujian glukosa darah.

Ujian itu hanya melibatkan sedikit cucuk jari dan kurang dari satu minit untuk mengetahui sama ada glukosa (gula) darah anda tinggi.

Walaupun begitu, doktor anda mungkin menyarankan agar menjalani ujian lain termasuk ujian toleransi glukosa oral (OGTT) dan/atau ujian hemoglobin glikosilated (HbA1c), untuk menentukan sama ada anda menghidap diabetes terutamanya jika anda berisiko tinggi, walaupun paras glukosa darah dari ujian cucuk jari anda masih normal.

Profesor Emeritus Datuk Dr Mustaffa Embong ialah pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.